PASARAN hartanah negara kekal berdaya tahan pada suku pertama 2025 apabila aktiviti pembinaan terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan meskipun prestasi transaksi menunjukkan sedikit penyusutan.
Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), bilangan unit kediaman yang siap dibina meningkat sebanyak 30.2 peratus kepada 9,329 unit berbanding 7,168 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, bilangan unit yang mula dibina turut melonjak 32.5 peratus kepada 28,344 unit berbanding 21,391 unit pada suku pertama 2024.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr Abdul Razak Yusak berkata, walaupun transaksi hartanah menunjukkan sedikit penurunan, pertumbuhan kukuh dalam aktiviti pembinaan dan pelancaran projek baharu berjaya menyokong momentum positif pasaran hartanah.
“Transaksi hartanah pada suku pertama 2025 mencatatkan 97,772 urus niaga bernilai RM51.42 bilion, menyusut 6.2 peratus dari segi bilangan dan 8.9 peratus dari segi nilai berbanding 104,194 transaksi bernilai RM56.47 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau lagi, antara faktor yang menyokong pertumbuhan pasaran termasuk pelaksanaan Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR), serta pembangunan infrastruktur strategik oleh Kerajaan MADANI.
Tambah beliau, pelaksanaan Zon Kewangan Khas Forest City, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan zon bebas cukai di Pulau Satu, Forest City mula menunjukkan impak positif, terutama dalam mengurangkan bilangan unit pangsapuri khidmat yang tidak terjual (overhang) di Johor Bahru yang menurun sebanyak 5.6 peratus berbanding suku keempat 2024.
Dalam pada itu, pelancaran baharu kediaman turut mencatat peningkatan luar biasa, melonjak lebih dua kali ganda kepada 12,498 unit berbanding 5,585 unit pada suku pertama 2024, dengan kadar jualan 10.8 peratus.
Prestasi unit kediaman siap dibina tidak terjual (overhang) pula merekodkan 23,515 unit bernilai RM15 bilion – peningkatan kecil 1.6 peratus dalam bilangan dan 7.7 peratus dalam nilai berbanding suku keempat 2024.
Namun begitu, jika dibandingkan dengan suku pertama tahun lalu, angka ini menunjukkan penurunan masing-masing sebanyak 2.9 peratus dan 9.0 peratus.
Bagi pasaran pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual, prestasi terus menunjukkan pemulihan apabila mencatat penurunan kepada 18,246 unit bernilai RM14.61 bilion, iaitu penyusutan sebanyak 6.7 peratus dari segi bilangan dan 6.9 peratus dari segi nilai.
Sementara itu, kadar penghunian kompleks perniagaan meningkat sedikit kepada 79.0 peratus berbanding 78.8 peratus pada suku keempat 2024.
Dari segi harga, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) berada pada paras 225.3 mata dengan harga purata seunit RM486,070 dan pertumbuhan tahunan dicatatkan pada kadar 0.9 peratus.
Abdul Razak menegaskan bahawa walaupun unjuran pasaran kekal positif, pemain industri dan pemaju perlu sentiasa peka terhadap ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran pasaran semasa.
“Belanjawan 2025 turut memperkenalkan beberapa inisiatif pemangkin termasuk pelepasan cukai pendapatan individu atas pinjaman perumahan dan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SKJP) bagi membantu golongan muda memiliki rumah pertama.
“Insentif kewangan dan pembangunan infrastruktur di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta Zon Kewangan Khas Forest City dijangka terus merancakkan pasaran hartanah dalam jangka panjang,” katanya.
Pasaran hartanah negara secara keseluruhannya dijangka kekal mampan, disokong oleh dasar kerajaan yang proaktif dan pertumbuhan berterusan dalam sektor pembinaan. – Edisi 9

