BEKAS Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menolak tanggapan banyak pihak bahawa tindakannya bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu sebagai nepotisme.
Ini kerana beliau yakin proses bertanding secara terbuka bagi mendapatkan mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.
Beliau juga tidak peduli sekiranya PKR digelar parti anak beranak sedangkan gelaran tersebut sudah dilabel sejak parti itu ditubuhkan pada 1998 lalu sebagai usaha untuk memperlekeh perjuangan parti tersebut.
“Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu (parti anak-beranak).
“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah – kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.
“Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan pengesahan itu bermakna Nurul Izzah akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini sudah pun mengumumkan untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Anak sulung Perdana Menteri yang juga Presiden PKR itu menjelaskan, sebelum ini sudah dua kali beliau menolak sebarang jawatan dalam Kabinet hanya bagi mengelak berlaku nepostime.
Pertamanya kata beliau, ketika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana dia ditawarkan jawatan menteri Kabinet yang ketika itu ibunya, Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Manakala pada 2018, Nurul Izzah rela meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.
Mengenai keputusannya untuk bertanding jawatan tersebut, Nurul Izzah berkata, keputusan yang perlu diambil itu bukanlah yang paling mudah atau paling selesa, tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab.
“Saya tetap percaya, perjuangan ini bukan milik mana-mana individu. Ia milik kita semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998,” katanya. – Edisi 9

