Monday, July 20, 2026

Ikhtiar Madani langkah tepat hadapi tarif balas AS – Barjoyai

Pendekatan kerajaan kali ini menunjukkan kematangan dalam menangani krisis yang kompleks dan berisiko tinggi.

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

TINDAKAN Kerajaan Madani yang memperkenalkan enam strategi utama menerusi Ikhtiar Madani bagi mengekalkan kestabilan ekonomi kesan tarif balas yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat (AS) merupakan satu langkah yang tepat.

Penganalisis ekonomi berwibawa, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pendekatan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kematangan dalam menangani krisis yang kompleks dan berisiko tinggi.

Beliau menyifatkan langkah yang diumumkan Perdana Menteri itu sebagai satu strategi ekonomi menyeluruh dan berpandangan jauh memandangkan ia mengambil kira pelbagai sektor dan dimensi ekonomi daripada perundingan antarabangsa hingga kepada sokongan terhadap perusahaan, kecil dan sederhana (PKS).

“Enam strategi ini bukan sahaja menangani impak jangka pendek, tetapi juga membuka ruang kepada pengukuhan struktur ekonomi negara dalam jangka masa panjang,” ujar beliau ketika dihubungi Edisi 9.

Mengulas satu persatu, Barjoyai berkata, kerajaan tidak bertindak adhoc dalam menangani krisis tersebut sebaliknya menunjukkan komitmen untuk menilai dan menyesuaikan tindakan secara berterusan.

DR BARJOYAI BARDAI

Ini dapat dilihat menerusi langkah mewujudkan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) dan pemantauan indikator utama seperti eksport, jualan runcit serta pemberhentian pekerja, dianggap sebagai langkah proaktif.

Strategi kedua pula menumpukan kepada meneruskan rundingan penyelesaian tarif dengan Amerika Syarikat serta memperkukuh hubungan dagangan dua hala.

Menurut Barjoyai, Malaysia mempunyai sejarah lebih 70 tahun dalam hubungan perdagangan dengan AS dan ini boleh dijadikan asas kukuh dalam rundingan.

“Malaysia perlu tampil dengan data dan pengalaman teknikal, termasuk dalam isu percukaian dua kali, agar kita tidak dipinggirkan dalam rundingan ini,” jelasnya.

Strategi ketiga yang menyasarkan bantuan kepada pengeksport terjejas, khususnya PKS yang beliau sifatkan sebagai wajar, namun beliau mencadangkan agar perhatian turut diberikan kepada perniagaan mikro.

“Banyak perniagaan mikro terlibat secara tidak langsung sebagai pembekal atau penyokong kepada industri besar seperti elektronik dan semikonduktor. Mereka juga akan terjejas jika rantaian bekalan terganggu,” katanya.

Bagi strategi keempat, yang menggalakkan penerokaan pasaran baharu dan kerjasama serantau, beliau berpandangan ia penting untuk memperluas pasaran dan mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu kuasa besar.

Beliau menyebut negara-negara membangun pesat seperti Rusia, Brazil, India, China, Timur Tengah, Afrika dan negara-negara Balkan sebagai destinasi eksport berpotensi tinggi, terutamanya dalam bidang teknologi dan komunikasi.

“Pasaran baharu ini mempunyai kelompok kelas menengah yang semakin besar dan berkeupayaan membeli produk berteknologi tinggi dari Malaysia,” ujarnya.

Strategi mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan dan pelaburan, menurut beliau, dapat memangkin pertumbuhan eksport dalam jangka sederhana dan panjang.

Malahan kata pensyarah di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), kecekapan proses pentadbiran seperti kelulusan sijil halal boleh menjadi pemacu kepada pembangunan industri halal negara.

Beliau juga memuji strategi keenam iaitu kesinambungan agenda reformasi Ekonomi MADANI yang dilihat cuba mengadun penyelesaian jangka pendek terhadap krisis tarif dengan pembangunan jangka panjang negara.

Namun begitu, Barjoyai menegaskan bahawa kesemua strategi ini masih perlu dipantau dan disesuaikan dengan perubahan global yang pantas dan tidak menentu.

“Isu tarif ini sangat dinamik dan melibatkan lebih 190 negara. Ia memerlukan pemantauan berterusan, dengan pasukan seperti NGCC diberi kuasa untuk mengemas kini strategi pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa sektor eksport utama yang paling terdedah kepada impak tarif AS ialah sektor elektrik dan elektronik (E&E), solar panel, dan minyak sawit.

Manakala industri semikonduktor pula mungkin terpaksa mengecilkan pelaburan jika tarif kekal tinggi.

Dari perspektif ekonomi mikro, beliau berkata, impak tarif akan dirasai secara langsung oleh PKS, khususnya mereka yang menjadi pembekal kepada industri-industri tersebut.

Ini boleh menyebabkan ketidaktentuan dan menjejaskan operasi serta aliran tunai perniagaan kecil.

Sebagai langkah sokongan, beliau mencadangkan agar kerajaan mempercepat transformasi PKS ke arah Revolusi Industri 4.0 dan 5.0, termasuk penggunaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), dan automasi.

“Kerajaan perlu menyediakan perundingan, pembiayaan dan latihan supaya PKS tidak ketinggalan dalam era teknologi baharu,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa peningkatan produktiviti adalah faktor utama dalam memastikan daya saing ekonomi Malaysia kekal tinggi.

Lebih 70 peratus tenaga kerja perlu diberi latihan berterusan agar dapat menyumbang secara lebih efektif kepada ekonomi.

Mengulas peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Barjoyai berkata ia adalah peluang strategik untuk menyatukan pendirian negara-negara anggota dalam rundingan perdagangan dengan AS.

“Jika ASEAN bersuara dalam satu suara, ia memberi tekanan kepada AS untuk mempertimbangkan semula tindakan tarif menyeluruh. Ini kekuatan kolektif yang kita perlu manfaatkan,” ujarnya.

Akhir sekali, beliau menekankan pentingnya Malaysia terus membangunkan agenda keselamatan makanan, memperkukuh sektor ekonomi domestik dan terus meneroka pasaran baharu dalam kalangan negara membangun agar tidak terus terperangkap dalam kebergantungan kepada ekonomi besar seperti AS. – Edisi 9

Related posts:

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan