MINGGU lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan enam strategi sebagai usaha menghadapi impak tarif balas Amerika Syarikat (AS) jangka pendek dan sederhana.
Sehubungan itu Wartawan Edisi 9, FAZRINA KAMAL menemubual Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof Dr. Goh Lim Thye bagi mendapatkan pandangan berhubung strategi kerajaan itu.
Ikuti temubual berikut:
Soalan: Bagaimana Dr. melihat keenam-enam strategi yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini?
Dr. Goh Lim Thye: Strategi tersebut memperlihatkan pendekatan menyeluruh dalam menangani kesan tarif balas AS.
Langkah seperti mempelbagaikan pasaran eksport dan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat wajar.
Namun, pelaksanaan yang berkesan dan pemantauan berterusan adalah kunci kepada kejayaan.

Adakah strategi itu mencukupi untuk menghadapi cabaran jangka pendek dan sederhana?
Goh: Untuk jangka sederhana, ia menyediakan asas yang kukuh. Namun bagi jangka pendek, kita perlukan intervensi tambahan seperti bantuan kewangan segera dan insentif penyesuaian pasaran.
Apa yang penting ialah kecekapan penyampaian bantuan serta pemantauan berasaskan data.
Sektor manakah yang paling terdedah kepada tarif AS?
Goh: Sektor elektrik dan elektronik (E&E) paling terkesan kerana menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2024.
Selain itu, sektor perabot, getah, dan tekstil juga berisiko tinggi. Kita perlu beri sokongan khusus kepada industri nilai tambah tinggi dan menggalakkan automasi untuk daya saing.
Adakah realistik untuk kita mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dalam masa terdekat?
Goh: Dalam jangka pendek, agak mencabar kerana AS menyumbang lebih 13 peratus daripada eksport negara.
Namun, melalui RCEP, CPTPP dan pasaran baharu seperti India dan Timur Tengah, strategi kepelbagaian pasaran ini boleh direalisasikan dalam jangka sederhana.
Negara manakah yang berpotensi menjadi pasaran eksport alternatif?
Goh: China, India, UAE, dan negara ASEAN mempunyai potensi besar. Sebagai contoh, perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah AS$212 bilion pada 2024.
Kita harus manfaatkan platform seperti eTRADE dan perluaskan pejabat perdagangan di luar negara.

Bagaimana peluang Malaysia dalam rundingan tarif dengan AS?
Goh: AS utamakan kepentingan strategik tetapi Malaysia ada rekod baik sebagai ekonomi terbuka dan patuh peraturan.
Contohnya pada 2018, kita berjaya dapat pengecualian tarif bagi produk keluli dan aluminium hasil rundingan teknikal dan sokongan industri.
Apa kesan tarif kepada PKS dari sudut ekonomi mikro?
Goh: PKS akan terkesan dari segi peningkatan kos pematuhan, gangguan logistik, dan pengurangan tempahan.
Mereka yang beroperasi dengan margin rendah lebih terjejas. Oleh itu, sokongan bersasar seperti latihan penjenamaan dan peralihan digital sangat kritikal.
Bantuan apakah paling berkesan untuk PKS ketika ini?
Goh: Geran pensijilan eksport, insentif automasi dan pembiayaan mudah. Program seperti MTCDP oleh SME Corp. perlu diperluas.
Juga penting untuk wujudkan pusat sehenti bagi urusan eksport dan pasaran baharu.
Bagaimana dengan pelaksanaan projek pembangunan sebagai tindak balas ekonomi?
Goh: Mempercepat projek infrastruktur digital, pengangkutan dan tenaga bersih aboleh merangsang ekonomi.
Namun, perlu keutamaan kepada projek berimpak tinggi dan ada kesan gandaan besar kepada ekonomi tempatan.
Terakhir, sejauh mana pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI boleh membantu?
Goh: Tiga aspek penting ialah reformasi pasaran buruh, ekonomi digital, dan tadbir urus.
Produktiviti kita masih rendah berbanding negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.
Reformasi segera dalam modal insan dan insentif pelaburan yang lebih efisien adalah sangat penting.
Terima kasih Dr. atas penjelasan yang amat bermakna.
Goh: Sama-sama, semoga wawancara ini memberi nilai kepada pembaca. – Edisi 9

