KENAIKAN gaji minimum kepada RM1,700 bermula bulan ini mampu memberi kesan positif kepada ekonomi, kata pakar ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Dr Goh Lim Thye.
Bagaimanapun, pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM itu berkata, keberkesanannya bergantung kepada bagaimana pendapatan tambahan itu digunakan oleh rakyat yang menerimanya.
Beliau berkata, jika majoriti pekerja membelanjakan sebahagian besar pendapatan tambahan tersebut, sektor perniagaan akan mendapat manfaat secara langsung melalui peningkatan jualan dan permintaan.
“Sekiranya kenaikan gaji lebih banyak disimpan berbanding dibelanjakan, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi mungkin terhad.
“Walaupun simpanan penting untuk kestabilan kewangan individu, pertumbuhan ekonomi yang mampan memerlukan peningkatan dalam perbelanjaan pengguna bagi merangsang aktiviti perniagaan dan pelaburan,” katanya kepada Edisi 9 ketika dihubungi hari ini.

Penetapan kadar gaji minimum RM1,700 berbanding RM1,500 sebelum ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan Malaysia 2025 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun pelaksanaannya diberikan tempoh masa tiga bulan atau tepatnya sejak 1 Februari lalu bagi membolehkan majikan membuat persediaan sewajarnya.
Goh berkata, jika kenaikan gaji minimum hanya bertujuan untuk menampung inflasi tanpa benar-benar meningkatkan kuasa beli atau produktiviti, ia mungkin tidak akan memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi.
Sebaliknya, kata beliau, kesan sampingan seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan perlu diambil kira kerana perniagaan mungkin akan menyesuaikan harga untuk menampung kos buruh yang lebih tinggi.
“Ini boleh menyebabkan tekanan inflasi yang mengimbangi kesan positif peningkatan pendapatan,” kata beliau.
Atas sebab itu, beliau berkata, keseimbangan dalam pelaksanaan dasar itu amat penting.
Beliau mengesyorkan agar pengguna berbelanja secara bijak dan berhemah, manakala pemilik perniagaan perlu mencari cara untuk meningkatkan produktiviti melalui kecekapan operasi bagi mengurangkan kos seunit, bukan sekadar menaikkan harga.

“Pelaburan dalam automasi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja boleh membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan kos tanpa membebankan pengguna,” katanya.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan, di peringkat antarabangsa, Britain telah mengumumkan kenaikan gaji hidup nasional sebanyak 6.7 peratus mulai April 2025.
Langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih tiga juta pekerja, dengan harapan dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Walau bagaimanapun menurut Goh, keberkesanan langkah itu masih bergantung kepada sejauh mana kenaikan gaji benar-benar meningkatkan kuasa beli rakyat atau sekadar menampung kenaikan harga barang akibat inflasi.
Justeru beliau merumuskan bahawa kenaikan gaji minimum boleh menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi jika ia diuruskan dengan baik.
Namun, jika kenaikan gaji hanya bertujuan untuk menampung inflasi tanpa disertai peningkatan dalam kuasa beli sebenar atau produktiviti, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi akan lebih terhad.
“Oleh itu, kerajaan dan pihak berkepentingan perlu mengambil pendekatan yang strategik dalam melaksanakan dasar ini bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua pihak dalam jangka panjang,” katanya. – Edisi 9

