IKEA Malaysia melancarkan platform e-dagang baharu khusus untuk para pelanggan di Sabah dan Sarawak mulai hari ini.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, gedung dalam talian baharu itu memberikan pelanggan di Malaysia Timur akses kepada produk paling laris IKEA dengan harga mampu milik sama seperti di Semenanjung.
Pada masa yang sama, beliau berkata, platform itu juga dapat menawarkan penghantaran yang jauh lebih pantas menerusi Pusat Pemenuhan (Central Fulfillment Centre) baharu di Kuching, Sarawak.
Katanya, menerusi pusat tersebut, mereka dapat mengurangkan masa penghantaran dengan menyokong pembungkusan, pemasangan dan penghantaran produk IKEA yang dipesan melalui kedai atas talian terbaharu itu.
Menurutnya, gedung dalam talian baharu tersebut sejajar dengan strategi ‘omni-saluran’ IKEA untuk membawa jenama berkenaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia melalui pelbagai titik sentuh dalam talian dan luar talian.
“Visi kami di IKEA adalah untuk mencipta kehidupan sehari-hari yang lebih baik untuk ramai orang. Pelanggan kami di Sabah dan Sarawak berperanan penting dalam menjadikan IKEA satu jenama kegemaran di Malaysia.
“Dalam kami berusaha mengembangkan jangkauan kami dan memenuhi pelbagai keperluan rakyat Malaysia, kami sentiasa meneroka cara baharu untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan jenama IKEA.
“Justeru, kami sangat teruja untuk melancarkan gedung dalam talian ini, yang menjadikan penyelesaian kelengkapan rumah kami lebih mudah diakses oleh pelanggan kami di sini, serta membolehkan mereka menikmati harga mampu milik yang sama dengan Semenanjung Malaysia,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Malcolm berkata, platform e-dagang baharu itu membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati fungsi dan keselesaan yang ditawarkan IKEA dengan lebih mudah dan pada harga mampu milik, serta mengukuhkan lagi kehadiran IKEA di Malaysia Timur.
Beliau berkata, orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman web IKEA baharu khusus untuk Sabah dan Sarawak di IKEA.my/EMstore dengan jamian semua produk adalah asli, terjamin dan akan dihantar dengan selamat ke destinasi. – Edisi 9