KETIKA kerajaan Madani mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025, ramai menghela nafas lega, terutama mereka yang berpendapat rendah.
Namun, di sebalik langkah yang dilihat sebagai progresif itu, terdapat kebimbangan bahawa jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan asas terutama mereka yang tinggal di bandar.
Melihat kepada isu berkaitan pinjaman perumahan serta lonjakan kos sara hidup yang terus meningkat mungkin ramai yang menganggap kadar tersebut masih belum mencukupi.
Edisi 9 mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung penetapan kadar baharu gaji minimum yang kini telah dikuatkuasakan.
Pekerja keselamatan, A. Hamdan Jusoh, 26 menganggap kenaikan gaji minimum itu adalah sesuatu yang positif dan mencukupi bagi individu bujang.
Namun, dia mengakui bagi mereka yang mempunyai keluarga, jumlah tersebut mungkin masih tidak memadai untuk menampung perbelanjaan harian yang semakin tinggi.
“Ramai lagi di kalangan kami masih terbeban, terutama sekali dalam perancangan masa depan seperti pemilikan rumah, ia masih jauh dari kenyataan,” katanya.
Dalam industri perbankan pula, kelayakan untuk mendapatkan pinjaman perumahan bergantung kepada nisbah khidmat hutang (DSR).
Menurut satu sumber yang dipetik dari laman web Arifhussin.com, bagi individu yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, had DSR biasanya ditetapkan pada 60 peratus.
Ini bermakna, dengan gaji minimum RM1,700, seseorang hanya layak memiliki komitmen hutang sekitar RM1,020 sebulan, yang boleh menyukarkan proses mendapatkan pinjaman perumahan yang mencukupi.
Di pihak pemaju hartanah pula, mereka menyedari cabaran ini dan ada yang menawarkan skim khas bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Intan Alwina Ahmad, 29, menyuarakan kebimbangan kenaikan gaji minimum boleh menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat.
“Majikan mungkin akan mengambil langkah mengurangkan bilangan pekerja atau menaikkan harga produk bagi menampung kos operasi yang meningkat, dan akhirnya, pengguna yang akan menerima kesan negatif akibat kenaikan harga barangan,” katanya.
Bagaimanapun Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan adalah satu langkah baik dalam meningkatkan martabat pekerja.
“Semua pihak perlu mengambil pendekatan harmoni untuk terus memperbaiki taraf hidup pekerja, yang merupakan anggota penting dalam ekosistem ekonomi negara,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Secara keseluruhannya, walaupun kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan merupakan langkah yang disambut baik namun cabaran tetap wujud dalam memastikan ia benar-benar memberi kesan positif kepada pekerja berpendapatan rendah.
Pemilikan rumah masih menjadi cabaran besar, sementara kos sara hidup yang terus meningkat boleh menghakis manfaat kenaikan ini.
Dalam usaha menjadikan kehidupan lebih baik untuk rakyat, kerajaan disarankan untuk menilai semula dasar pinjaman perumahan serta mengawal kenaikan harga barang agar manfaat kenaikan gaji dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua golongan pekerja. – Edisi 9