ANUGERAH Grammy 2025 merupakan kali ke-67 penganjurannya menjadi saksi kepada detik-detik yang bukan sahaja diraikan oleh para peminat muzik tetapi juga memperkukuhkan pengaruh artis-artis ikonik dalam pelbagai genre acara penganugerahan muzik tahunan penuh gilang gemilang.
Malam gilang-gemilang yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles menjadi saksi detik-detik yang bukan sahaja diraikan oleh para peminat muzik, tetapi juga memperkukuhkan pengaruh artis-artis ikonik dalam pelbagai genre.
Daripada kemenangan bersejarah kepada persembahan yang memukau, acara ini terus menjadi tanda aras kejayaan dalam dunia muzik global.
Grammy 2025 menyaksikan Beyoncé sekali lagi mencipta sejarah menerusi albumnya Cowboy Carter kerana dinobatkan sebagai Album Terbaik Tahun Ini.
Kemenangan tersebut menjadikannya wanita kulit hitam pertama abad ke-21 yang merangkul anugerah tersebut, mengukuhkan lagi statusnya sebagai ikon muzik sepanjang zaman.
Dengan kemenangan tersebut, Beyoncé bukan sahaja memperkukuh pengaruhnya dalam industri muzik tetapi juga menjadi simbol inspirasi kepada generasi pemuzik wanita.
Tidak ketinggalan dalam sorotan utama malam itu ialah kejayaan Kendrick Lamar, yang membawa pulang dua anugerah berprestij iaitu Lagu Terbaik Tahun Ini dan Rakaman Terbaik Tahun Ini menerusi lagunya Not Like Us.
Dikenali dengan lirik yang penuh makna dan penyampaian yang mendalam, kemenangan itu sekali lagi membuktikan keunggulan Lamar dalam dunia hip-hop.
Lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi juga mencerminkan realiti sosial dan budaya yang sedang berlaku.
Persembahan ikonik memukau penonton
Seperti kebiasaannya, Grammy tidak hanya tentang anugerah tetapi juga pentas kepada persembahan-persembahan luar biasa.
Malam itu dibuka dengan tribut khas kepada Los Angeles, di mana Dawes dan Randy Newman mempersembahkan lagu-lagu yang mencerminkan ketahanan bandar raya Los Angeles selepas dilanda kebakaran hutan baru-baru ini.
Namun, salah satu momen paling menyentuh hati ialah tribut kepada Quincy Jones, maestro muzik yang memberi impak besar kepada industri muzik dunia.
Persembahan luar biasa oleh Stevie Wonder dan Janelle Monáe menjadi tanda penghormatan kepada legenda tersebut, meninggalkan kesan mendalam kepada penonton di seluruh dunia.
Grammy 2025 juga menyaksikan ucapan-ucapan penuh emosi dan inspirasi daripada para pemenang.
Doechii yang memenangi Album Rap Terbaik, menyampaikan ucapan yang menyentuh hati, menyeru gadis-gadis kulit hitam agar terus berjuang dan percaya pada diri sendiri dalam industri muzik yang sering mencabar.
Di samping itu, pemenang Artis Baru Terbaik, Chappell Roan mengambil kesempatan untuk menyeru kepada perubahan dalam industri muzik dengan menekankan kepentingan gaji yang adil serta kemudahan kesihatan untuk artis baharu.
Ucapannya mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin, mencerminkan keperluan mendesak untuk pembaharuan dalam industri muzik.
Penghargaan dan kemenangan bersejarah
Selain itu, Alicia Keys menerima Anugerah Impak Global Dr. Dre, satu penghormatan yang mengiktiraf sumbangannya dalam membawa kepelbagaian dan kesaksamaan dalam dunia muzik.
Kemenangan itu juga bukan sahaja satu pencapaian peribadi buat Keys tetapi juga satu simbol perjuangan untuk perubahan dalam industri.
Dalam kategori Album Vokal Pop Terbaik, Sabrina Carpenter meraih kemenangan pertamanya di Grammy menerusi albumnya Short n’ Sweet, sekaligus menandakan titik penting dalam kerjayanya yang semakin melonjak.
Grammy 2025 bukan sekadar meraikan kejayaan artis dalam industri muzik, tetapi juga menjadi pentas penting bagi mesej sosial dan perubahan.
Dengan kemenangan bersejarah, persembahan luar biasa, dan ucapan yang penuh inspirasi, Grammy tahun ini akan terus dikenang sebagai salah satu acara muzik paling epik dalam sejarah.
Dunia muzik tidak hanya meraikan bakat, tetapi juga suara-suara yang membawa perubahan. – Edisi 9