MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini dimasyhurkan sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pemasyhuran MRSM yanh mengambil nama sempena Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga mantan Ahli Parlimen Kepala Batas.
Pemasyuran MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
“Pemasyhuran ini adalah satu bentuk penghormatan tertinggi kepada seorang negarawan ulung, Perdana Menteri Malaysia Kelima yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Negara,” kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, majlis pemasyhuran itu juga menyingkap kembali jasa dan usaha gigih Allahyarham dalam merealisasikan penubuhan MRSM Kepala Batas sebagai salah sebuah institusi pendidikan menengah MARA di Kawasan Seberang Perai Utara.
Malah, katanya, Allahyarham sendiri telah merasmikan penubuhan MRSM ini dalam Majlis Perasmian Projek-projek Persekutuan Parlimen Kepala Batas yang telah diadakan pada 29 Mac 2009 bersamaan 2 Rabiulakhir 1430 Hijrah, bertempat di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang.
“MRSM ini bukan sekadar institusi pendidikan Ulul Albab, malah telah muncul sebagai antara MRSM terbaik di Malaysia dengan pencapaian cemerlang dalam akademik, hafazan dan kokurikulum melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah menjadi huffaz Al-Quran yang profesional dan berakhlak tinggi.
“Sebagai Pengerusi MARA, saya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi dan warga MARA yang telah merealisasikan pemasyhuran ini dalam tempoh yang singkat tetapi cukup bermakna,” katanya.
Beliau berharap MRSM tersebut terus menjadi mercu tanda kecemerlangan pendidikan Bumiputera dan menjulang nama Almarhum Tun Abdullah sebagai inspirasi kepada seluruh generasi MARA.
Sebelum MARA telah menamakan MRSM Jasin, Melaka sebagai MRSM Tun Ghafar Baba sebagai mengenang jasa-jasa Timbalan Perdana Menteri itu. – Edisi 9

