Thursday, June 4, 2026

Ustaz Yusri diumum calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu mempunyai latar belakang pendidikan agama di peringkat PhD dari Universiti Pendidikan Sultan Idris

Mesti Baca

SETIAUSAHA UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengumuman dibuat Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pelancaran Jentera PRK N48 DUN Ayer Kuning bagi parti itu di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, Tapah hari ini.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, Mohamad Yusri atau mesra dipanggil Ustaz Yusri, dipilih daripada lapan nama yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Tapah yang terdiri daripada barisan kepimpinan bahagian dan sayap-sayap parti.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Mohamad Yusri, 54, merupakan calon tempatan yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bekas guru itu kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Majlis pelancaran jenteran BN bagi PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh.

Beliau aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk sebagai Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Dari segi politik, bapa kepada empat orang anak itu yang menetap di Kampung Tersusun Haji Tahir pernah diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah dan Ketua Biro Agama dan Kebajikan Pemuda UMNO Tapah.

Sementara itu Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pemilihan Mohamad Yusri dibuat berdasarkan latar belakang agama serta kelulusan akademik beliau, dan mendapat sokongan semua pihak.

“Sebagaimana dimaklumkan, daripada lapan nama, terdapat enam calon yang disenarai pendek dan dikemukakan kepada saya. 

“Kita telah meneliti latar belakang serta laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, Dr Yusri telah terpilih. Insya-Allah, kali ini (calon BN) adalah seorang yang berlatarbelakangkan agama dan mempunyai kelulusan yang baik,” katanya.

Beliau berharap pemilihan Mohamad Yusri memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Ayer Kuning, yang menjadi kubu kuat BN dan UMNO sejak beberapa siri pilihan raya umum lalu.

“Tambahan pula saya dimaklumkan bahawa isteri beliau adalah keturunan Cina. Jadi mudah-mudahan ia akan membantu dan menjadi satu kelebihan kepada beliau.

“Sudah tentu jentera BN dan PH (Pakatan Harapan) akan berganding bahu untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan Dr Yusri dalam pilihan raya ini,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 21 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 April dan 22 April, manakala 26 April sebagai hari pengundian.

Pada PRU15, Ishsam yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan