25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Daesh mengaku bertanggungjawab lakukan serangan bom di Iran

Mesti Baca

DAESH mengaku bertanggungjawab atas dua letupan bom yang berlaku di Iran yang mengorbankan hampir 100 orang dan mencederakan ramai lagi pada upacara peringatan kepada komander tertinggi Qassem Soleimani.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di saluran Telegram sekutunya, kumpulan itu berkata, dua anggota Daesh meletupkan tali pinggang dengan bahan letupan di khalayak umum yang berkumpul di tanah perkuburan di bandar Kerman, tenggara Iran pada Rabu untuk ulang tahun keempat kematian Qassem.

Di Washington, jurucakap Rumah Putih, John Kirby memberitahu pemberita pada Khamis bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak meragui dakwaan Daesh bahawa ia bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Tehran sebelum ini menyalahkan kes letupan itu sebagai serangan ‘pengganas’ dan berikrar membalas dendam atas serangan paling berdarah sejak Revolusi Islam 1979.

Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Mokhber, berkata letupan berkembar itu turut mencederakan 284 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Mereka akan menerima tindak balas yang sangat hebat daripada tentera Qassem Soleimani,” katanya kepada pemberita di Kerman.

Advertisements

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), dalam satu kenyataan mengutuk tindakan itu sebagai ‘serangan pengganas yang pengecut’ dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta kerajaan Iran.

Stesen televisyen kerajaan menunjukkan orang ramai berkumpul di beberapa bandar di seluruh Iran, termasuk Kerman dan melaungkan: “Kematian kepada Israel” dan “Kematian kepada Amerika.”

Media kerajaan melaporkan, pihak berkuasa Iran menggesa protes besar-besaran diadakan pada Jumaat, apabila majlis pengebumian mangsa letupan itu diadakan.

Kor Pengawal Revolusi Iran menyifatkan serangan itu sebagai tindakan pengecut ‘bertujuan untuk mewujudkan rasa tidak selamat dan membalas dendam terhadap cinta dan pengabdian mendalam negara kepada Republik Islam’.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengutuk kejadian itu sebagai ‘jenayah keji dan tidak berperikemanusiaan’.

Pihak berkuasa tertinggi Iran, Pemimpin Tertinggi Ayatollah Khamenei, berikrar membalas dendam atas pengeboman itu. -Agensi

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan