MALAYSIA dan Iran komited untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima panggilan daripada Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian malam tadi.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin telah berbincang mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Iran, di samping bertukar ucapan Aidilfitri.
“Kami menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan kedua-dua negara, terutama dengan mempertingkatkan pelaburan dan perdagangan, selain memperluas kerjasama pelbagai bidang berpotensi.
“Alhamdulillah, kunjungan Menteri Luar Malaysia ke Tehran pada bulan lalu membawa perkembangan positif dalam hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia-Iran,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan memastikan kesinambungan kunjungan tersebut dengan menyegera dan mempermudahkan segala usaha untuk mengembangkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan selainnya.
Katanya, beliau turut mengulangi penghargaan Malaysia terhadap pendirian teguh Iran yang tekal dalam memperjuangkan hak dan keadilan buat rakyat Palestin, serta menentang kezaliman Israel yang tergamak melanggar perjanjian gencatan senjata dan menggagalkan usaha damai.
“Kami percaya solidariti dan kesatuan dalam kalangan negara Islam dan warga dunia adalah cukup penting dalam usaha memastikan keadilan dan keamanan berpanjangan di bumi Gaza,” katanya. – Edisi 9

