27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Khaled sifatkan lawatannya ke Turkiye, Iran berjaya

Mesti Baca

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan lawatan lima hari beliau ke Turkiye dan Iran berjaya apabila lebih 20 perjanjian persefahaman ditandatangani.

Menurut beliau, lawatan kerja tersebut adalah sebagai kesinambungan untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi.

Beliau berkata, lawatan itu juga sebagi usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk meneroka prospek kerjasama terutamanya dari segi penyelidikan, pertukaran tenaga pakar serta program mobiliti jangka pendek pelajar kedua-dua negara.

“Sepanjang lawatan kerja terbabit, sebanyak 19 Memorandum Persefahaman (MoU) dan tiga sesi Memorandum Kerjasama (MoC) telah dimeterai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, dalam lawatan kerja ke Turkiye pada 5 dan 6 Oktober, sebanyak tiga MoU telah dimeterai antara Istanbul Gelisim University (IGU) bersama masing-masing dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM).

Beliau berkata, fokus utama MoU tersebut bagi pelaksanaan program pesisir antara USM dan IGU serta beberapa perkara yang dipersetujui.

Ini termasuk pertukaran pelajar dan staf, kerjasama penyelidikan, membangunkan projek secara penyelidikan dan melakukan penerbitan bersama serta penglibatan lebih banyak syarikat multinasional daripada Turkiye.

Advertisements

“Pemeteraian MoU ini jelas membuktikan bahawa kualiti IPTA negara kian diyakini sehingga ia diiktiraf negara luar.

“Semoga pencapaian yang membanggakan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kita memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan ke Iran pada 7 hingga 9 Oktober, sebanyak 16 MoU dan tiga MoC telah dimeterai membabitkan empat buah universiti di negara itu.

Katanya, ini termasuk lima MoU dan satu MoC dimeterai bersama University of Isfahan, lima MoU dan satu MoC dengan Islamic Azad University, lima MoU bersama D-8 International University (D8IU) dan satu MoU bersama Art University of Isfahan.

Antara bentuk kerjasama yang telah disepakati, kata beliau, adalah dalam bidang agrikultur, sains dan teknologi, pertukaran pelajar, penyelidikan dalam bidang kejuruteraan, penganjuran bengkel dan program latihan bersama serta memperluaskan kursus ‘dual degree’ yang mampu meningkatkan produktiviti dan kebolehpasaran para pelajar.

“Iran merupakan sebuah negara yang terkenal dalam bidang sains dan teknologi. Hubungan erat yang terjalin ini boleh dimanfaatkan dengan mengadaptasi inovasi yang dibangunkan agar mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kempen dengan idea, hujah bukan hina pihak lawan – Akmal

KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mahukan agar para pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) berkempen secara sihat dan...

Lagi Artikel Berkaitan