25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Luluskan segera RUU Kawalan Produk Merokok – NARCC UM

Mesti Baca

KUMPULAN Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC) di Universiti Malaya (UM) mendesak kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Ketua Koordinator NARCC UM, Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin berkata, ini kerana pihaknya memandang serius kecemasan yang melanda negara ini berhubung penggunaan vape dan rokok elektronik dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh lagi berdiam diri melihat peningkatan drastik dalam penggunaan vape oleh generasi muda yang digembar-gemburkan sebagai sumber pendapatan baru dan cara berhenti merokok.

“Kami mendesak dengan penuh kesungguhan agar Kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Ini adalah langkah yang sangat penting untuk melindungi generasi muda daripada ancaman merokok dan vape.

“Masa depan mereka serta kesihatan mereka dalam jangka pendek dan panjang berada dalam bahaya besar. Kami tidak boleh terus berlengah lagi!,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Amer Siddiq yang juga pakar perunding kanan psikiatri UM berkata, tidak ada bukti kukuh menyokong vape sebagai terapi berhenti merokok manakala banyak lagi cara berhenti merokok yang bertauliah masih belum dimaksimakan.

Beliau berkata, hasil kajian kohort di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengenai Incidence of E-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI) among the Severe Acute Respiratory Infections (SARI) Patients pada tahun 2021 menunjukkan insiden EVALI sebanyak 840 bagi setiap 100,000 kes SARI.

Advertisements

“Inilah alasan kenapa kami mendesak agar pesakit SARI semuanya disaring untuk penggunaan e-rokok atau vape.

“Penemuan ini adalah panduan penting bagi pembuat dasar dan pengurusan klinikal EVALI,” katanya.

Beliau menegaskan, manfaat ekonomi yang dijanjikan oleh industri vape jauh lebih kecil daripada kos yang timbul akibat penyakit serius seperti EVALI.

Katanya, vape juga berpotensi merosakkan sistem pernafasan, terutamanya pada golongan remaja dan kanak-kanak yang tidak mampu mengawalnya.

Jelas beliau, terdapt banyak kajian yang menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dengan vape mudah terjebak dengan rokok konvensional dan penyalahgunaan dadah serta mengalami masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan.

Sementara itu, Pakar Perunding Kesihatan Keluarga UM, Profesor Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin pula berkata, kajian kesihatan remaja pada tahun 2022 menunjukkan perubahan yang menggerunkan dalam pola penggunaan rokok.

“Penggunaan vape meningkat sementara penggunaan rokok konvensional menurun.

“Lebih membimbangkan, remaja perempuan cenderung kepada penggunaan vape, menunjukkan penerimaan yang tinggi disebabkan oleh sifat ingin tahu, gaya hidup, dan daya tarikan perasa,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan