25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Syed Saddiq didapati bersalah 4 tuduhan seleweng dana ARMADA

Dipenjara 7 tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan

Mesti Baca

BEKAS Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA BERSATU.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid mengenakan hukuman itu selepas mendengar hujahan peguam bela bagi diringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pendakwaan.

Hakim turut membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

Terdahulu, hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Selepas mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan dan keterangan tertuduh sendiri, mahkamah memberikan pertimbangan di tahap maksimum sebagaimana dikehendaki undang-undang.

“Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan musabaqah. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah atas semua tuduhan,” katanya.

Bagi tuduhan pertama, dia dituduh bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana sayap parti itu berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Advertisements

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia yang kini Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa dengan dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan