Monday, June 22, 2026

Rafizi, Khairy, Syed Saddiq dicadang bentuk parti baharu

Satu bargaining power (tawar-menawar kuasa) cukup kuat diketika tidak ada single party (parti tunggal) yang boleh memerintah di Malaysia

Mesti Baca

BEKAS Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dicadang untuk bergabung dengan beberapa ahli politik muda dalam satu parti baharu.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu dicadang bergabung dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) dan bekas Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membentuk gagasan baharu tersebut.

Turut dicadangkan ialah penyertaan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Presiden Parti Bangsa Malaysia, Datuk Larry Sng dan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Dalam bola sepak, apabila pemain-pemain bintang bergabung, pasukan itu biasanya menjadi terlalu kuat dan juara banyak tahun.

“Secara automatik parti ini (parti baharu) sudah ada (antara) tujuh hingga 10 ahli Parlimen. Satu bargaining power (tawar-menawar kuasa) cukup kuat diketika tidak ada single party (parti tunggal) yang boleh memerintah di Malaysia,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Bagaimanapun Mohd Puad mempersoalkan, dengan latar belakang pendidikan, pengalaman jawatan tinggi dalam parti asal dan sifat suka berbeza idea, mereka boleh membentuk gabungan yang serasi.

“Selamat mencuba untuk memeriahkan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Rafizi sebelum ini gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR setelah tewas kepada Nurul Izzah Anwar yang menyaksikan beberapa lagi pimpinan pusat pro beliau turut tewas.

Antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyebabkan kedua-dua mereka membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai menteri Kabinet.

Khairy pula yang dipecat daripada UMNO dan Shahril Hamdan yang digantung keahlian sehingga kini masih tidak menyertai mana-mana parti politik dan bergiat aktif sebagai pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial.

Manakala Syed Saddiq yang melepaskan jawatan Presiden MUDA susulan berdepan kes mahkamah pula turut aktif sebagai pencipta kandungan digital bersama selebriti terkenal, Bella Astillah. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan