PENDIDIKAN awal negara bakal diperkasakan lagi menerusi tiga inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai lanjutan kepada kejayaan program Pra-Tahfiz yang melahirkan lebih 61,000 hufaz cilik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif yang dinamakan PELITa@KEMAS, Smart Classroom@KEMAS dan TABIKA Tunas Istimewa itu bakal memperluas akses pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh negara termasuk golongan berkeperluan khas.
Beliau berkata, usaha tersebut membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada anak Malaysia tercicir daripada hak untuk mendapat pendidikan, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
“Dengan lebih 10,567 tabika dan 577 taska di bawah seliaan KEMAS, seramai 221,012 murid telah menerima pendidikan awal yang menyeluruh. Inisiatif baharu ini adalah kesinambungan kepada usaha memperkukuh sistem pendidikan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2025 di Institut Kemajuan Desa (INFRA) di Bangi, Selangor. Hadir sama Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Hanafiah Man.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, warga pendidik KEMAS merupakan tulang belakang pendidikan komuniti, justeru perlu diberi perhatian melalui penambahbaikan strategik secara menyeluruh dan berfasa.
“Saya mencadangkan tiga langkah penambahbaikan iaitu latihan profesional berterusan, penguasaan literasi digital dan penjagaan kebajikan secara holistik. Ini penting bagi memastikan guru-guru KEMAS terus relevan dan berdaya saing,” ujar beliau.
Sementara itu beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap sumbangan warga pendidik KEMAS yang bukan sahaja mengajar huruf dan angka, malah menyemai adab, membentuk akhlak dan menyalakan semangat masa depan generasi muda.
Tema sambutan tahun ini, “Di Sini Bermula”, ujar Zahid, amat bertepatan dengan realiti bahawa kelas kecil di Tabika KEMAS adalah tempat pertama anak-anak mengenal dunia ilmu.
“Daripada bilik darjah inilah lahirnya doktor, jurutera, pemimpin dan pejuang bangsa. Merekalah guru pertama yang memperkenalkan dunia kepada anak-anak kecil,” katanya.
Beliau turut berkongsi suara-suara anak kecil dari desa yang bercita-cita tinggi, mahu menjadi doktor dan Perdana Menteri apabila dewasa kelak.
Zahid tutut menyeru warga pendidik KEMAS terus menyemai ilmu dengan kasih sayang dan komitmen demi melahirkan generasi berilmu, beradab dan berjati diri.
“Insya-Allah, usaha murni ini akan terus mewarnai masa depan negara,” katanya. — Edisi 9

