Tuesday, July 21, 2026

Malaysia-Rusia perkasa kerjasama pengurusan bencana – Zahid

Sekali gus membuka ruang kepada pemindahan teknologi, latihan bersama dan komunikasi masa nyata dalam situasi kecemasan sebenar.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MALAYSIA dan Rusia sepakat untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pengurusan bencana, sekali gus membuka ruang kepada pemindahan teknologi, latihan bersama dan komunikasi masa nyata dalam situasi kecemasan sebenar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat rasmi Menteri Persekutuan Rusia bagi Pertahanan Awam, Kecemasan dan Kemusnahan Akibat Bencana Alam (EMERCOM), Kolonel Jeneral Alexander Kurenkov di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, pertemuan tersebut mencerminkan kesediaan kedua-dua negara untuk menterjemah hubungan diplomatik kepada tindakan konkrit serta berimpak tinggi.

“Kita sedang memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara EMERCOM dan Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) yang akan merangkumi pelbagai aspek termasuk latihan bersama, pemindahan teknologi dan kesepaduan respons kecemasan antara dua negara,” katanya hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, antara kerjasama yang dibincangkan ialah latihan operasi menyelamat membabitkan Pasukan SMART dan pasukan RUS-03 dari Rusia, selain sesi persidangan video secara langsung antara Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Pusat Pengurusan Krisis Nasional Rusia (NCMC).

Katanya, pendekatan tersebut akan meningkatkan keberkesanan komunikasi dua hala secara masa nyata ketika bencana melanda.

“Malaysia amat menghargai tawaran EMERCOM untuk menyediakan latihan khusus kepada pegawai kita di Vladivostok, selain inisiatif kerjasama penggunaan teknologi dron (UAV) bagi tujuan pemantauan dan penilaian bencana,” ujarnya.

Zahid turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia-Rusia akan terus berkembang kukuh bukan hanya dalam aspek teknikal, tetapi juga melalui pertukaran budaya serta nilai kemanusiaan sejagat yang dikongsi bersama. — Edisi 9

Pertemuan itu turut disertai pegawai kanan daripada EMERCOM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Malaysia.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan