32.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Sebut ‘bodoh’, cederakan Syed Saddiq, Papagomo didenda RM2,100

Mesti Baca

BEKAS EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali Papagomo, didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret Kajang, semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan menyebut perkataan ‘bodoh’ kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Denda RM2,000 bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, manakala baki denda RM100 akibat mengeluarkan perkataan berkenaan terhadap Ahli Parlimen Muar itu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli, mengarahkan jika Muhammad Azri, 40, gagal membayar denda, dihukum penjara ditetapkan masing-masing tiga bulan dan sehari.

Beliau memutuskan hukuman berkenaan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan di peringkat akhir kes mereka.

“Tidak wajar untuk memanggil seseorang bodoh dan dalam konteks kes itu, keamanan digugat mungkin berlaku.

“Semasa pemeriksaan balas, tertuduh berkata ‘bodoh’ bukan perkataan yang tidak senonoh kerana digunakan di Parlimen. Itu bukan alasan yang kukuh.

“Berkenaan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK), meskipun membabitkan pergerakan beberapa jari, ia menyebabkan kesakitan kepada SP4 (saksi pendakwaan keempat, Syed Saddiq).

“Hukuman sepatutnya mencerminkan terhadap kekerasan digunakan,” katanya.

Advertisements

Pada 21 Februari lalu, mahkamah mengarahkan Wan Muhammad Azri membela diri atas dua pertuduhan berkenaan.

Papagomo didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq di leher dan bahu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian, di sini jam 11.05 pagi, 16 Februari 2019 lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Papagoma juga berdepan tuduhan menyebut perkataan yang kurang sopan dan menghina iaitu ‘kau bodoh’ ke atas Syed Saddiq, di mana keamanan mungkin akan terganggu, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100, jika disabitkan kesalahan.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan, peguam bela Wan Muhammad Azri, Nik Saiful Adli Burhan, memohon anak guam dikenakan hukuman berbentuk denda yang paling rendah atas alasan berpendapatan tidak menentu sebagai peniaga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, memohon hukuman sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Mahkamah perlu mengambil kira tertuduh adalah orang dikenali masyarakat dan sepatutnya memberi contoh baik kepada umum,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan