PENULIS blog kontroversi, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas satu pertuduhan menyebut kata-kata menghasut, antaranya mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat, dua bulan lalu.
Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.
“Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan,” katanya yang hadir bersama isteri.
Bekas Exco Pemuda UMNO itu didakwa menyebut kata-kata menghasut pada jam 1 tengah hari, 8 November tahun lalu di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’.
Kenyataan itu dilihat oleh seorang lelaki berusia 42 tahun, di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Tertuduh juga perlu dikenakan syarat tambahan iaitu memenuhi perintah larangan (gag order) tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana Wan Muhammad Azri telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes ini disiasat.
“Dia yang bekerja secara dalam talian perlu menjaga isteri yang juga seorang suri rumah dan lima anak yang masih bersekolah.
“Kami bantah perintah larangan itu kerana ia adalah hak kebebasan untuk bersuara,” katanya yang turut disertai oleh peguam, Logen Eskander.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes. -Edisi 9