Sunday, July 19, 2026

Fitnah MARA: Asyraf mahu saman Papagomo RM1 juta

Asyraf menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas yang mencemarkan maruah dan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.

Mesti Baca

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar yang disebarkan oleh penulis kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris berhubung isu tender makan MRSM dan pembelian lembu korban menggunakan wang agensi.

Dalam kenyataan tegas di media sosial, Asyraf Wajdi menyifatkan tuduhan Wan Muhammad Azri yang juga dikenali sebagai Papagomo itu sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas yang mencemarkan maruah dan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.

“Astaghfirullah, sejak bila saya terlibat dengan tender makan MRSM? Seluruh Malaysia tahu saya sendiri yang #Terjah ke MRSM dan dewan-dewan selera bagi memecahkan kartel yang menjejaskan kualiti makanan pelajar,” katanya.

Menurut beliau, selaku Pengerusi MARA, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam proses pelantikan atau mesyuarat tender, sebaliknya hanya terlibat dalam memperketatkan aspek tadbir urus menerusi Majlis MARA agar ketelusan dan integriti sentiasa terpelihara.

Turut ditangkis keras adalah tuduhan kononnya lembu korban yang diagihkan di Gerik dan Pasir Puteh dibeli menggunakan dana MARA.

“Lembu-lembu itu adalah sumbangan sahabat-sahabat saya yang berniat ibadah korban, tiada satu sen pun wang MARA digunakan,” tegasnya lagi.

Susulan itu, Asyraf mengumumkan beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan menfailkan saman berjumlah RM1 juta terhadap Papagomo atas penyebaran fitnah berkenaan.

“Budaya fitnah seperti ini tidak boleh dibiarkan. Kita jumpa di mahkamah,” katanya sambil menyertakan petikan ayat suci al-Quran, “Dosa fitnah lebih besar daripada membunuh.” (Al-Baqarah:191)

Asyraf turut menggesa masyarakat untuk menolak politik fitnah yang kian berleluasa menjelang PRU-16 serta menekankan pentingnya mempertahankan integriti institusi seperti MARA yang menjadi tunjang mobiliti sosial Bumiputera. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan