PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia memilih jalan kerjasama yang berprinsip bukan konfrontasi, selaras dengan prinsip keadilan, keterangkuman dan kedaulatan sejagat.
Ketika menyampaikan intervensi pada hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Rio de Jenario, Brazil, Anwar berkata, pendekatan tersebut seiring dengan realiti pada hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menolak keras pendekatan dunia yang terus dibelenggu oleh pertembungan blok geopolitik.
Sebaliknya beliau menekankan bahawa multilateralisme bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mutlak bagi menjamin kestabilan global dan mengangkat martabat negara-negara membangun.
“Saya memandang serius senario pertembungan ‘geopolitics of tech’ atau teknologi berpaksikan kuasa geopolitik yang membawa risiko terhadap inovasi dan kestabilan bermasyarakat dan bernegara,” katanya hari ini.

Anwar juga membidas sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza serta penindasan terhadap rakyat Iran, sambil menyeru agar BRICS muncul sebagai suara sejagat yang berani memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri turut menyelaraskan pendirian rantau itu dengan aspirasi BRICS, khususnya dalam memperjuangkan reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil, terbuka dan berpaksikan pembangunan.
Dalam aspek teknologi, Anwar mengalu-alukan penekanan BRICS terhadap tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika dan sejahtera. Beliau memaklumkan bahawa Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI, selain kini mengetuai usaha penubuhan Jaringan AI ASEAN sebagai platform serantau memperkukuh keupayaan teknologi.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan BRICS dan negara-negara rakan bagi membentuk sebuah sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat dan diyakini serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi demi masa depan bersama umat manusia,” katanya.
Sidang BRICS tahun ini yang bertemakan Masa Depan Digital Inklusif dan Reformasi Institusi Global dijangka merumuskan beberapa konsensus utama melibatkan ekonomi, teknologi dan solidariti negara Selatan Global.
Sempena sidang kemuncak itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan para pemimpin dunia yang hadir.
Antaranya Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Dalam pertemuan dua hala dengan Ramaphosa, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin dapat menilai semula pelbagai bentuk kerjasama meliputi pelbagai bidang selain merangka langkah memperluas pelaburan strategik dalam sektor pertanian, automotif, pelancongan dan halal.
“Saya zahirkan penghargaan atas sokongan tegas Afrika Selatan terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha gigih mereka di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.
Katanya, Malaysia komited mempererat hubungan dengan Afrika Selatan sebagai rakan dagang utama di benua Afrika, selari dengan semangat solidariti Selatan-Selatan dan kerjasama MADANI merentas benua. — Edisi 9

