Wednesday, July 22, 2026

Perlekeh institusi diraja: Jangan permain undang-undang negara

Sesetengah pihak mula mengambil mudah prinsip kebebasan bersuara sehingga menyentuh sempadan yang tidak sepatutnya disentuh.

Mesti Baca

TINDAKAN pantas pihak berkuasa mendakwa seorang suri rumah atas pertuduhan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui hantaran jelik di media sosial merupakan petunjuk jelas bahawa institusi diraja masih diberi penghormatan tertinggi dalam sistem kenegaraan negara ini.

Dalam landskap digital yang semakin terbuka dan tanpa sempadan, sesetengah pihak mula mengambil mudah prinsip kebebasan bersuara sehingga menyentuh sempadan yang tidak sepatutnya disentuh.

Di sinilah pentingnya penguatkuasaan undang-undang agar nilai, tradisi serta simbol kedaulatan negara tidak dicemari oleh gelagat tidak bertanggungjawab segelintir pengguna media sosial.

Apa yang perlu difahami ialah institusi diraja bukan sekadar entiti simbolik, tetapi merupakan sebahagian daripada struktur Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan integriti negara sejak merdeka.

Apabila berlaku tindakan menghina raja sama ada secara terang-terangan mahupun terselindung di sebalik ‘meme’, parodi atau komen jelik, ia bukan sekadar penghinaan terhadap individu, tetapi satu bentuk cabaran terhadap keluhuran Perlembagaan itu sendiri.

Hantaran bersifat jelik terhadap institusi diraja seperti ini tidak boleh dipandang ringan.

Langkah pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, tetapi juga merupakan mesej tegas kepada masyarakat bahawa ruang digital bukan zon bebas daripada tanggungjawab dan akibat perundangan.

Dalam hal ini, masyarakat wajar melihat tindakan penguatkuasaan bukan sebagai penindasan terhadap kebebasan bersuara, tetapi satu bentuk kawalan yang perlu demi memastikan ruang awam, termasuk maya, tidak dicemari dengan budaya kebencian, fitnah serta penghinaan terhadap institusi yang menjadi teras kenegaraan.

Sudah terlalu banyak contoh di mana media sosial disalahgunakan untuk mencetuskan ketegangan kaum, sentimen agama, dan kini penghinaan terhadap raja, semuanya atas alasan ‘bebas bersuara’. 

Namun hakikatnya, tiada mana-mana Perlembagaan di dunia yang membenarkan kebebasan tanpa batas dan tanpa akibat.

Lebih membimbangkan, sikap segelintir yang merasakan diri ‘kebal’ di alam maya menjadi punca kepada penularan budaya biadab dan tidak beretika. 

Apabila institusi diraja dipermain, implikasinya bukan hanya terhadap raja, tetapi terhadap rakyat keseluruhan yang terikat kepada sistem Raja Berperlembagaan yang telah terbukti menjadi asas keharmonian Malaysia.

Justeru, tindakan tegas ini harus dijadikan iktibar oleh semua. Masyarakat bukan sahaja perlu lebih bijak dan beretika dalam menggunakan media sosial, malah bertanggungjawab memastikan ruang digital kekal selamat, bermaruah dan selaras dengan nilai-nilai kenegaraan.

Undang-undang tidak wajar dipermainkan. Institusi diraja tidak wajar diperlekeh. 

Dalam dunia yang semakin mencabar dan terbuka, ketaatan kepada rukun negara dan keluhuran perlembagaan perlu terus dipelihara demi kestabilan dan masa depan Malaysia. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan