Tuesday, July 21, 2026

Politik tanpa hikmah: Bila diplomasi disangka ‘jalan-jalan’

Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh. 

Mesti Baca

Oleh AHMAD FARHAN FAUZI

TUDUHAN segelintir pihak daripada blok pembangkang bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah ‘jalan-jalan’ adalah cerminan kepemimpinan yang berminda kecil. 

Malahan, ia juga cerminan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia terhadap rakyat dan bumi bertuah Malaysia. 

Hakikatnya, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara.

Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS. 

Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh. 

Anwar Ibrahim menelaah sebelum menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ketika dalam penerbangan dari Paris ke Rio kelmarin. – Foto: Farhan Fauzi

Inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin l Perdana Menteri telah membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik.

Antara lain dalam memperluas akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU), serta pemeteraian FTA dengan negara-negara EFTA. 

Langkah proaktif Malaysia telah membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang telah diluluskan, iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion serta prestasi perdagangan yang mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024. 

Pendekatan proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130 peratus.

Sebaliknya, semasa era pentadbiran gerombolan mereka, citra negara tidak terkehadapan. Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara. 

Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan MADANI memandu negara kita. 

Di bawah kepimpinan MADANI, dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi. 

Pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian perjanjian strategik dan penyertaan aktif Perdana Menteri di platform ekonomi dan diplomatik bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar kita.

Nasihat saya kepada tokoh-tokoh berminda kecil di dalam blok pembangkang ialah fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik. 

Ini kerana, rakyat tidak berminda seperti anda. Apatah lagi untuk diperdaya agar termakan dengan permainan herotan persepsi. 

Rakyat lebih bijak menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya tahu menabur tohmahan, menyemai kebencian dan bermain ‘politik tanpa hikmah’.


Datuk Ahmad Farhan Fauzi merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri. Artikel ini dipetik langsung daripada Facebook beliau. 

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan