32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Pengerusi MIDF tawan puncak Kinabalu bersama 10 warganya

Mesti Baca

USIA bukan penghalang buat Pengerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Tan Sri Abdul Rahman Mamat mengetuai ekspedisi bersama 10 warga organisasi itu menawan puncak Gunung Kinabalu, baru-baru ini.

Abdul Rahman, 71, berkata, beliau bersama Timbalan Presiden Eksekutif, MIDF, Ahmad Farouk Mohamed serta warga MIDF lain melakukan persiapan mantap termasuk mengadakan beberapa siri latihan bagi meningkatkan ketahanan fizikal dan mental.

Berkongsi pengalaman menawan puncak tertinggi di Malaysia, beliau berkata, aktiviti pendakian itu tidak mudah kerana perlu melalui trek pendakian yang panjang, curam dan berbatu.

“Bagaimanapun, berkat sokongan moral dan bantuan daripada rakan pendaki selain mengadakan beberapa siri latihan mendaki sebelum ini bersama pihak penganjur ekspedisi, Summit Attack Resources sebagai persiapan membolehkan mereka berjaya mendaki sehingga ke puncak Kinabalu.

“Antara perkara yang sering ditekankan ialah berkaitan kesihatan seperti kondisi jantung dan lutut. Kita perlu pastikan yang kita boleh naik dan turun dengan selamat.

“Selain itu, kekuatan mental juga antara elemen yang perlu dititikberatkan. Untuk aktiviti mendaki, kita tidak boleh ada rasa takut dan mental perlu kuat,” katanya.

Ekpedisi bersama pihak Summit Attack Resources itu diadakan pada 25 hingga 28 Ogos lalu.

Abdul Rahman berkata, sebelum mendaki Gunung Kinabalu, beliau bersama kakitangan yang lain membuat latihan dan persiapan dengan mendaki beberapa gunung dan bukit yang ada di Semenanjung termasuk Gunung Angsi, Gunung Datuk, dan Bukit Gasing.

Advertisements

Ditanya berkenaan pengalaman pahit dan manis dalam siri pendakian ini, Abdul Rahman ingin memberi penekanan terhadap semangat kerjasama atau ‘team work’ dalam kalangan warga MIDF.

“Walaupun setiap yang terbabit dari latar belakang jabatan yang berbeza di MIDF, namun hubungan yang terbina sejak persiapan untuk mendaki Gunung Kinabalu adalah sangat baik.

“Kami jadi rapat dan saling memperhatikan dan memberi nasihat antara satu sama lain. Sebelum membuat ekspedisi pendakian ini pun, banyak idea dan persiapan dibuat bersama,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti outdoor sebegitu amat membantu dalam meningkatkan ‘team building’ dalam kalangan pekerja dan mengakui menerusi aktiviti sedemikian boleh melatih diri seseorang untuk keluar dari zon keselesaan.

“Kita biasanya terbiasa dengan keselesaan diri seperti bekerja dipersekitaran yang ada penghawa dingin, duduk depan komputer, memandu sana-sini.

“Apabila kita mengikuti aktiviti atau program seperti ini, kita dapat mencabar diri dan mengambil risiko terhadap sesuatu yang baru,” katanya.

Katanya, antara rancangan untuk siri ekpedisi pendakian yang seterusnya iaitu di Kawah Ijen, Surabaya, Indonesia yang dijangka diadakan pada 28 sehingga 31 Disember depan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan