31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Agoda perluas Program Eco Deals di lapan negara ASEAN

Mesti Baca

PLATFORM pelancongan digital global, Agoda akan mengembangkan Program Eco Deals untuk menyokong lapan projek pemulihan alam sekitar di lapan negara ASEAN, termasuk Malaysia.

Program dengan kerjasama Tabung Alam Sedunia (WWF) itu diumumkan pada Forum Pelancongan ASEAN (ATF) Ke-27 yang sedang berlangsung di Vientine, Laos.

Ketua Pegawai Eksekutif Agoda, Omri Morgenshtern berkata, pihaknya akan meningkatkan sumbangan kepada empat kali ganda kepada WWF-Singapura, iaitu sebanyak USD $1 juta (RM4.7 juta) sebagai sebahagian daripada program tersebut.

“Sama seperti edisi program sebelum ini, Agoda akan menderma sebanyak USD $1 (RM4.70) untuk setiap tempahan yang dibuat ke atas hotel yang menyertai inisiatif tersebut.

“Dana ini akan menyokong pelbagai projek pemuliharaan WWF yang merangkumi usaha pemuliharaan marin, hutan dan hidupan liar, termasuk perlindungan harimau di Malaysia, jerung paus di Filipina, dan gajah di Thailand.

“Projek lain yang menerima bantuan tahun ini memberi tumpuan kepada pemuliharaan Saola di Vietnam, pemulihan ekosistem di Indonesia, sokongan renjer di Kemboja dan penambahbaikan tanah lembap bandar di Laos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Tengah Hari Sempena ATF-27 bersama para pegawai tinggi kerajaan ASEAN dalam bidang pelancongan di Vientine, Laos hari ini.

Hadir sama, Menteri Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos, Suanesavanh Vignaket selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN Ke-27 dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Singapura, Vivek Kumar.

Morgenshtern berkata, Program Eco Deals itu sedang menerima penyertaan rakan kongsi penginapan secara aktif dan akan dibuka kepada pengguna pada 3 Mac hingga 3 Disember 2024.

Advertisements

“Sebagai sebuah syarikat yang bermatlamat untuk membolehkan lebih ramai orang melakukan perjalanan, kami sedar bahawa kami mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha pemeliharaan destinasi.

“Melalui kerjasama kami yang berterusan dengan WWF di bawah Program Eco Deals dan sokongan kerjasama rakan penginapan, kami berhasrat untuk memperjuangkan inisiatif pemuliharaan dan perlindungan bumi kita secara proaktif agar ia kekal untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Mengenai projek perlindungan harimau di Malaysia, beliau berkata, sebanyak 20 pasukan yang terdiri daripada 116 individu telah melakukan rondaan di Kompleks Hutan Belum-Temengor di Perak selama 2,849 hari,

Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh tersebut kumpulan terbabit tidak menemukan sebarang jerat yang aktif.

“Sebanyak 282 perangkap berkamera juga dipasang di 141 lokasi dalam kawasan tersebut untuk memantau aktiviti hidupan liar,” katanya.

Untuk rekod, Agoda memilih memperkukuh usaha emuliharaan harimau di Belum-Temengor memandangkan populasi haiwan tersebut kini semakin berkurangan.

Daripada anggaran 3,000 ekor harimau pada tahun 1950-an, populasi harimau di Malaysia kini menurun mendadak kepada kurang daripada 150 ekor disebabkan oleh kehilangan habitat dan pemburuan haram.

Kompleks Hutan Belum-Temengor ini merentasi kawasan melebihi 3,400 kilometer persegi itu merupakan salah satu daripada tiga tapak keutamaan harimau di Malaysia di bawah Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan.

Projek tersebut bertujuan mengekalkan habitat dan kesalinghubungan harimau yang kritikal, menangani aktiviti pemburuan haram dengan harapan agar dapat meningkatkan dan melindungi populasi harimau sedia ada. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan