32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

‘Saya tidak peduli nasib saya, saya khuatir negara saya’ – Daim

Mesti Baca

TOKOH korporat dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menegaskan bahawa beliau tidak peduli dengan nasibnya yang kini berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang dikhuatirkan ialah nasib negara ini yang kini berdepan dengan masalah kemerosotan ekonomi, kejatuhan ringgit dan penderitaan rakyat.

Sehubungan itu, Daim yang kini berusia 85 tahun berkata, beliau akan melakukan apa yang terdaya untuk memelihara dan menyelamatkan negara ini.

“Ketika sibuk melunaskan dendam yang lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat biasa berterusan.

“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah.

“Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melemparkan segala-galanya terhadap saya. Tetapi saya khuatir nasib negara saya.

“Jadi, saya menyeru anda melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini. Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya.

“Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 aset dan harta seperti dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hujung tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau yang hadir ke mahkamah berkerusi roda mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, Daim didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.

Advertisements

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Antara harta yang terlibat termasuk aset akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang selain satu Kedah.

Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan tidak mendedahkan aset, seperti dikehendaki oleh agensi tersebut.

Sabit kesalahan, Daim boleh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Daim turut mengungkit bahawa beliau turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Anwar pada 2018 ketika negara dihantui bayang-bayang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalah guna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya.

“Demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai timbalan perdana menteri. Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah timbalan perdana menteri itu digugurkan.

“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?,” katanya dengan nada kesal.

Daim turut menuduh Anwar menyalahgunakan Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Perhimpunan Aman dengan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang mengkritik kerajaan atau Perdana Menteri.

Beliau turut menuduh ada menteri Kabinet Anwar mengeluarkan ugutan untuk menghantar kereta polis ke rumah mereka yang terbabit. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan