PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meminda Perkara 10 Perlembagaan parti tersebut bagi menghalang mana-mana wakil rakyatnya mengkhianati parti dengan maksud pengosongan kerusi.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung malam tadi.
Menurut beliau, mesyuarat juga bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyatnya yang bertindak sedemikian.
“Mesyuarat juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.
“Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini enam Ahli Parlimen yang mewakili Bersatu mengumumkan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Mereka ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Hamzah berkata, dalam mesyuarat tersebut turut dibincangkan mengenai situasi terkini ekonomi negara yang suram dan beban sara hidup rakyat yang mendesak.
Ini ekoran masalah harga barang yang melambung tinggi, nilai ringgit berterusan merudum serta ditambah dengan kenaikan bil utiliti.
Beliau berkata, dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, Majlis Pimpinan Tinggi juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Muhyiddin selaku Presiden.
Katanya, ia bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Anwar.
Sementara itu, Hamzah turut mengumumkan pelantikan tiga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang baharu sebagai langkah membugarkan parti itu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Setiausaha Srikandi Malaysia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor yang baharu manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula mengetuai Bersatu Negeri Sembilan.
Azmin menggantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu manakala Mohamad Hanifah mengambil alih jawatan daripada Datuk Abdul Rashid Asari.
Bersatu turut mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai Penegrusi Biro Ekonomi; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa); Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan).
ManakalaFadzillah Mohd Pilus pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu. – Edisi 9