27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Selepas 17 tahun, Sakti kembali di pentas bersama Opick

Mesti Baca

TEMPOH 17 tahun bukan satu waktu yang pendek dan tempoh itu juga bukan bermakna pintu hati tertutup rapat sehingga menolak kecintaan yang sudah sebati di dalam jiwa misalnya muzik.

Tempoh itu menjadi sebuah kembara panjang buat seorang bekas gitaris kugiran tersohor Indonesia, Salman Al Jugjawyy yang dikenali dengan nama pentas Sakti meninggalkan Sheila On 7 dan menemukan kedamaian hati dalam pencarian rohaninya.

Kini Sakti atau nama sebenarnya Saktia Ari Seno kembali ke panggung buat pertama kali dan secara eksklusif akan berkolaborasi dengan rakan dakwah dalam muzik, Opick, untuk sebuah konsert yang akan meninggalkan momen manis tersendiri.

Ini akan menjadi penampilan pertama Sakti atau Salman Al Jugjawy, nama yang dipilih seiring pencarian rohani dan menyebarkan dakwah bermain gitar di atas panggung untuk sebuah konsert besar.

Sakti tidak pernah tampil penuh di konsert sejak meninggalkan Sheila On 7 pada 2006, kecuali muncul sebagai tetamu undangan sahabat-sahabat sejatinya pada sebuah persembahan, Mei lalu.

Kolaborasi pemain gitar berusia 43 tahun ini akan menambah magis di sebalik alunan merdu dan mendamaikan vokal Opick, sang penyanyi berusia 46 tahun.

Bersama Opick, penyanyi Nur Fazura, UNIC, Zizi Kirana, Adi Priyo dan Yabang Khalifah akan menambahkan kehangatan Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur.

Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 11 November depan di Zepp Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Menerusi konsert yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids, Sakti percaya penampilan bersama Opick akan membuahkan ‘hasil’ dengan niatnya yang benar.

“Sebagai bekas pemain gitar secara komersial, lamaran ikut terbabit dalam Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur ini jujurnya agak menakutkan bagi saya yang sudah belasan tahun tidak bermain di pentas.

 “Akhirnya selepas difikirkan saya hanya mahu sama-sama menyebarkan dakwah dengan cara paling ‘tidak menakutkan’. Saya mahu berbagi manfaat, sama seperti Opick.

Advertisements

“Bersama Opick yang punya segudang karya berunsur kerohanian, mengajak kita pulang kepada Ilahi dan mencari redhonya, saya percaya apa yang cuba disampaikan oleh pihak Al Kauthar Eduqids dan Icon Entertainment dalam konsep persembahan ini bertujuan baik.

“Persembahan ini bukan untuk melalaikan tetapi bakal membawa kita berasa damai dan senang lewat untaian karya kerohanian yang nanti disampaikan oleh teman-teman lain. “Sampai jumpa nanti dan merasakan kedamaian lewat persembahan di konsert ini nanti,” kata Sakti.

Penganjur, Iman Tang dari Icon Entertainment mengatakan usaha membawa Sakti pulang ke belantika muzik ini bukan untuk menganggu istiqamah beliau dalam menelusuri jalan kerohaniannya.

“Icon Entertainment sebenarnya cukup bertuah kerana Sakti bersetuju tampil di panggung dan Malaysia melakar sejarah kerana beliau belum pernah muncul memetik gitar dalam konsert penuh walaupun di Indonesia.

“Sebagai penganjur dan sahabat, saya percaya Sakti juga boleh menyebarkan dakwah menerusi kecintaannya terhadap muzik.

“Apatah lagi dia akan memainkan karya-karya dakwah yang telah digarap cukup indah daripada Opick dan selama ini menjadi ‘santapan jiwa’ buat kita semua. 

“Semoga Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur mencapai matlamat dan memberi manfaat buat kita semua,” kata Iman.

Bagi Opick pula yang cukup terkenal dengan karya hitnya seperti Dealova, Shollu Ala Muhammad, Di Bawah Langit Mu, Cahaya Hati, Ya Rasul dan Semesta Bertasbih, dia menyambut lamaran penganjur dengan senang hati apabila melihat rakan yang akan mengiringinya adalah Sakti.

“Ini akan menjadi momen peribadi buat saya sendiri kerana bertemankan Sakti di atas panggung yang akan mengalunkan dengan indah karya-karya saya.

“Selepas itu ada juga rakan penyanyi dari Malaysia yang punya bakat luar biasa seperti Fazura, Amir Masdi, Zizi Kirana, Adi Priyo, Yabang Khalifah dan UNIC akan mengalunkan lagu-lagu kerohanian dengan manis,” kata Opick.

Dapatkan tiket konsert yang bermula dari RM228 (Cahaya Terang), RM268 (Dealova), RM288 (Buat Aku Tersenyum), RM308 (Tombo Ati) & RM4, 888 (Di Bawah Langitmu) untuk lapan orang menerusi https://www.ticket2u.com.my/opickdansakti. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan