DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan PH-BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai meniup semangat Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka Ekonomi Madani.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kemenangan itu juga menjadi kesinambungan kecemerlangan PH-BN di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Alhamdulillah, tahniah kepada Datuk Amizar Abu Adam yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
“Terima kasih saya ucapkan kepada para pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Sekalung penghargaan juga kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini.
“Kemenangan ini menjadi kesinambungan kecemerlangan kita di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hasil kesepaduan kerjasama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mendobrak naratif fitnah dan perkauman sempit.
“Ia juga meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi Madani,” katanya yang juga Perdana Menteri menerusi kenyataan di Facebook.
Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai apabila memperoleh majoriti 2,949 undi.
Dalam pertembungan tiga penjuru itu, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam mendapat 7,324 undi dan calon PN, Kasim Samat mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni mendapat 47 undi.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, Ogos lalu. – Edisi 9

