PASANGAN beregu lelaki negara mengecewakan penyokong Denmark yang hadir di Arena Fyn, Odense apabila menewaskam wakil tuan rumah, Anders Skaarup Rasmussen-Kim Astrup dalam aksi rubber set, awal pagi tadi.
Turun menentang pasangan nombor enam dunia itu, Aaron-Wooi Yik bagaimanapun tewas 21-16 di set pertama dalam tempoh 17 minit susulan beberapa kesilapan pukulan yang sangkut di jaring.
Gandingan beregu negara itu bagaimanapun bangkit di set yang kedua menerusi keyakinan yang dipamerkan apabila menang 21-15 dalam masa 19 minit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Momentum kemenangan diteruskan di set ketiga apabila Aaron-Wooi Yik dilihat lebih banyak menyerang ke belakang dan memaksa gandingan Denmark tersebut melakukan beberapa siri kesilapan.
Bagaimanapun, kemenangan akhirnya berpihak kepada pasangan negara apabila mencipta kemenangan 21-15 di set ketiga dalam tempoh 20 minit sekali gus menempah slot ke final.
Menanti di perlawanan akhir malam nanti adalah gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maula yang sebelum itu menewaskan beregu senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto. – Edisi 9