27 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 24, 2023

Singapura sekat Roger Ng seumur hidup

Mesti Baca

PENGUASA Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan perintah larangan seumur hidup (PO) terhadap Ng Chong Hwa, yang dikenali sebagai Roger Ng.

MAS berkata, PO terbabit dikeluarkan berikutan sabitan kesalahan bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs (Singapura) Pte. itu di Amerika Syarikat kerana berkonspirasi untuk menggelapkan wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan pelanggaran Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) Amerika Syarikat.

“Di bawah PO yang berkuat kuasa hari ini, Ng dilarang daripada melakukan sebarang aktiviti terkawal di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA) dan dari menyediakan sebarang khidmat nasihat kewangan di bawah Akta Penasihat Kewangan (FAA).

“Dia juga dilarang daripada mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham besar, mana-mana pasaran modal dan firma khidmat nasihat kewangan di bawah SFA dan FAA buat selama-lamanya,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

MAS berkata, Ng didapati bersalah di Amerika Syarikat pada 8 April 2022 dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 9 Mac 2023.

Mahkamah mendapati antara 2009 dan 2014, Ng bersubahat dengan individu lain, termasuk Tim Leissner, untuk mencuci berbilion dolar yang diselewengkan daripada 1MDB, termasuk dana yang dikumpul oleh 1MDB melalui tiga urus niaga tawaran bon yang ditaja oleh The Goldman Sachs Group, Inc dan anak syarikatnya dan rakan kongsinya.

Mereka juga berkomplot untuk memintas kawalan perakaunan dalaman The Goldman Sachs Group, Inc berkaitan dengan tiga transaksi penawaran bon dan perniagaan 1MDB yang lain.

Perbuatan Ng telah memberi alasan kepada MAS untuk mempercayai bahawa ia bertentangan dengan kepentingan awam untuk membenarkan beliau menjalankan perniagaan sebagai wakil.-Edisi 9

Terkini

Kes bunuh: Polis buru dua suspek warga Sri Lanka

POLIS memburu dua suspek lelaki warga Sri Lanka kerana disyaki terlibat kes bunuh tiga warga senegara di sebuah rumah...

Lagi Artikel Berkaitan