Monday, July 20, 2026

Zahid kukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura

Pertemuan dengan Lawrence Wong memberi tumpuan kepada pengukuhan FDI, peluang pekerjaan, pelancongan, TVET selain mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan lawatan kerja ke Singapura hari ini dengan fokus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama strategik baharu antara kedua-dua negara.

Beliau bertemu Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong, selain menghadiri sesi makan tengah hari bersama Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.

Pada awal pertemuan, Ahmad Zahid merakamkan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Singapura sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60, yang disifatkan sebagai simbol perjalanan luar biasa negara itu dalam aspek inovasi, tadbir urus dan ketahanan.

Pertemuan dengan Wong memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaburan langsung asing (FDI), peluang pekerjaan, pelancongan, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selain mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

“Kami turut membincangkan amalan terbaik memperkasa undang-undang berkaitan ekonomi gig, demi memastikan pemain industri, khususnya pekerja gig, menerima perlindungan dan kebajikan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, perbincangan dengan Kim Yong pula, menekankan kepentingan memanfaatkan pasaran ASEAN untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

Ahmad Zahid turut menegaskan peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini yang disokong infrastruktur bertaraf dunia.

Gan memaklumkan Singapura telah menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia sebagai sebahagian komitmen memperkukuh ekosistem latihan kemahiran.

Dalam kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kedua-dua pemimpin Singapura turut menghargai peranan aktif negara ini dalam membantu membendung krisis di persempadanan Thailand-Kemboja, sekali gus memastikan keamanan serantau.

Ahmad Zahid optimis pertemuan itu akan membuka lembaran kerjasama lebih erat demi kemakmuran bersama sebagai “dua negara bersaudara”. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan