MEDIVEST Sdn. Bhd. hari ini merasmikan logi pelupusan sisa klinikal berteknologi tinggi di Bukit Rambai, Melaka yang menjadi simbol komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan keselamatan kesihatan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Medivest, Ts. Abdullah Hashim berkata, loji yang mula dibangunkan pada 2020 itu berjaya disiapkan walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, termasuk gangguan rantaian bekalan dan kekangan kemasukan pakar teknikal antarabangsa.
“Sepanjang tempoh tersebut, Medivest mengurus peningkatan ketara sisa klinikal dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Dengan pelaburan bernilai RM30 juta, loji berkenaan mampu memproses sehingga 20 tan metrik sisa klinikal sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perasmian loji tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Abdullah berkata, loji tersebut dilengkapi teknologi moden seperti Counter-current Rotary Kiln System, Air Pollution Control System dan Continuous Emission Monitoring System (CEMS) yang memantau pelepasan secara berterusan bagi memastikan pematuhan piawaian alam sekitar.
Katanya, pengangkutan sisa dipantau secara masa nyata melalui Amplified Intelligence Centre (AIC) di ibu pejabat Medivest.
Syarikat itu, jelas beliau, turut melaksanakan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dengan pemasangan sistem solar yang mampu menjana 230 MWh setahun, mengurangkan pelepasan karbon sehingga 174kgCO₂ setahun serta sistem penuaian air hujan untuk penyiraman landskap.
Sementara itu Abdullah berkata, Medivest turut menjalin kerjasama strategik dengan universiti tempatan bagi mengguna semula abu insinerator sebagai bahan binaan konkrit, selaras dengan matlamat “zero waste to landfill” dan nilai ESG syarikat.
“Usaha tersebut mendapat pengiktirafan menerusi anugerah Malaysia Technology Excellence Award 2024 bagi kategori ESG Tech – Environmental Services dan MSOSH Gold Class 1 Award,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1997, Medivest telah memberi perkhidmatan sokongan hospital kepada hospital kerajaan di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, selain fasiliti swasta dan komersial, dengan lebih 20 hospital kerajaan berada di bawah pengurusannya. — Edisi 9

