SPEKULASI perubahan tampuk kepimpinan kerajaan Melaka bertiup kembali selepas nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dikhabarkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.
DIfahamkan penyandang jawatan ketika ini, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bakal melepaskan jawatannya esok bagi memberi laluan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkenaan.
Memetik laporan Harian Metro, pertukaran berkenaan difahamkan ada kaitan dengan pertemuan Ab. Rauf Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Menurut sumber akhbar itu, Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 akan berlangsung Jumaat ini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Dalam pada itu, Sulaiman yang juga ADUN Lendu mempengerusikan Mesyuarat Exco negeri di Seri Negeri pagi tadi.
Beliau kemudiannya mengadakan beberapa perbincangan dengan pegawai dan dijangka menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri lewat petang ini. – Edisi 9