SINDIKET pengeluaran wang haram yang bersembunyi di sebalik ‘keldai akaun’ akhirnya kecundang apabila polis menahan 71 individu dan merampas 925 kad ATM dalam operasi khas di seluruh negara hujung bulan lalu.
Dalam serbuan kilat selama tiga hari bermula 29 Julai itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menggempur 59 lokasi panas yang dikenal pasti menerusi aduan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka yang diberkas terdiri daripada 55 lelaki tempatan, lapan wanita tempatan dan lapan lelaki warga asing berusia 19 hingga 50 tahun.
“Mereka ini dipercayai menjadi runner atau orang tengah yang mengeluarkan wang daripada akaun keldai untuk sindiket,” tegasnya hari ini.
Turut ditemui dalam serbuan itu ialah wang tunai RM392,266, 100 telefon bimbit, 32 kad SIM, 16 beg, 55 dokumen pinjaman, dua buku cek kosong, lima kereta, selain komputer riba, tablet, mesin pencetak dan mesin kira.
Setakat ini, 16 suspek sudah diheret ke mahkamah mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 424A Kanun Keseksaan, manakala baki 55 lagi dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.
Rusdi memberi amaran keras bahawa mana-mana individu yang meminjamkan akaun bank, menyewakan atau menjadi ‘runner’ bagi mengeluarkan wang menggunakan kad ATM orang lain boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 424A, 424B, 424C(1) dan 424C(2) Kanun Keseksaan. — Edisi 9

