Tuesday, July 21, 2026

Malaysia pacu peranan sebagai pendamai serantau – Anwar

Kejayaan tersebut tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu negara-negara anggota ASEAN yang memberikan mandat kepada Malaysia untuk memikul peranan penting itu.

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia komited memacu peranan sebagai pendamai serantau, selaras dengan tanggungjawab negara sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Beliau berkata, kejayaan Malaysia membantu memeterai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja merupakan bukti nyata kemampuan negara mengemudi keamanan di rantau ini.

“Usaha Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja hingga berjaya mengekalkan gencatan senjata merupakan satu pencapaian penting, bukti nyata komitmen kita sebagai pemacu keamanan dan pendamai serantau,” katanya sempena Ulang Tahun Ke-58 ASEAN hari ini.

Menurut Anwar, kejayaan tersebut tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu negara-negara anggota ASEAN yang memberikan mandat kepada Malaysia untuk memikul peranan penting itu.

Mengulas ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN, beliau menzahirkan penghargaan kepada para pengasas blok serantau itu yang telah meletakkan asas kepada kestabilan dan kerjasama yang dinikmati hari ini.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memikul amanah besar untuk mengemudi rantau ini dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks. 

“Kita kini berada di fasa penutup kepengerusian menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober nanti yang akan menghimpunkan para pemimpin ASEAN bersama rakan-rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, serta Pengerusi BRICS dan G20,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa dunia sedang memerhati, dan Malaysia akan memastikan legasi kepengerusian tahun ini meninggalkan kesan yang bermakna serta manfaat yang berkekalan buat seluruh komuniti ASEAN.

Beliau turut menegaskan bahawa ASEAN bukan sahaja bertanggungjawab menjamin keamanan antara negara anggotanya, tetapi juga memperkukuh kedamaian dan kestabilan dalam negara masing-masing.

“Inilah kompas moral dan prinsip yang mesti terus kita junjung dalam membimbing haluan kita, sebuah ASEAN yang bersatu, aman dan makmur untuk semua,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan