Tuesday, July 21, 2026

Misi pencarian mangsa kapal layar Daisy warga Turkiye disambung

Pencarian disambung semula selepas pihaknya menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri, semalam.

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang kru kapal layar Daisy warga Turkiye yang masih hilang di perairan Pulau Yu, Terengganu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pencarian melalui Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) Putrajaya disambung semula selepas pihaknya menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri, semalam.

Mangsa, Eser Demirkol, adalah seorang daripada tiga kru yang terlibat dalam insiden kapal layar tersebut karam pada 31 Julai lalu. Dua kru lain telah ditemui sebelum ini.

Mohd Rosli berkata, operasi CARILAMAT sebelum ini telah dilaksanakan selama tujuh hari, meliputi kawasan pencarian seluas 457.61 batu nautika persegi melibatkan aset laut, aset udara dan penyelam Special Tasks and Rescue Team(STAR Team) dengan bantuan Remotely Operated Vehicle (ROV). 

“Pencarian telah ditamatkan pada 6 Ogos selepas tiada sebarang petunjuk  penemuan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi kali ini akan memfokuskan kawasan antara lokasi kapal disyaki karam dan lokasi penemuan mangsa kedua, dengan penggunaan aset laut dan udara Maritim Malaysia bagi mengoptimumkan liputan pencarian.

“Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi CARILAMAT ini dan berusaha sedaya upaya sehingga menemui petunjuk positif mangsa tersebut,” tegasnya.

Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk melaporkan kepada pihak Maritim Malaysia sekiranya menemui sebarang tanda melibatkan mangsa tersebut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRCC Putrajaya di talian 03-89413140 yang beroperasi 24 jam untuk tindakan segera. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan