Tuesday, July 21, 2026

Penyebar maklumat palsu kematian Zara Qairina disoal siasat

Maklumat yang disebarkan menerusi media sosial itu bukan sahaja palsu tetapi juga boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Mesti Baca

SEORANG individu disoal siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana dipercayai menyebarkan maklumat palsu berkaitan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurut MCMC, maklumat yang disebarkan menerusi media sosial itu bukan sahaja palsu tetapi juga menyentuh mengenai 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Suruhanjaya itu berkata, individu terbabit telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras semalam.

“Satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM telah disita untuk membantu siasatan,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.

Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap kes kematian remaja berusia 13 tahun itu dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.

Perdana Menteri berkata, kes itu tidak boleh dipandang ringan, namun memohon orang ramai tidak menjadikannya sebagai bahan politik sekali gus membuat sebarang spekulasi yang mungkin mengundang fitnah. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan