26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Kes Zahid: Pejabat Peguam Negara jawab dakwaan Muhyiddin

Mesti Baca

PEJABAT Peguam Negara (AGC) hari ini menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tindakan tidak meneruskan pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak bermoral.

Dalam kenyataan ringkas, AGC menegaskan bahawa permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu dibuat kepada mahkamah berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan dan telah pun diterima oleh mahkamah.

“Semasa membuat keputusan tersebut, Yang Arif Hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu mengulas dakwaan Muhyiddin bahawa tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk menarik balik 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Zahid selepas dipanggil membela diri di mahkamah adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dalam kes ini, Ahmad Zahid telah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 orang saksi.

“Ini bermakna mahkamah telah berpuas hati bahawa terdapat bukti-bukti yang berasas tentang perlakuan jenayah tersebut oleh Zahid dan mengarahkan beliau untuk membela diri.

Advertisements

“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan.

“Ini amatlah tidak munasabah. Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai?

“Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut hari ini melalui peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan