27 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Selepas Akhyar disamun, Faisal Halim pula disimbah asid

Mesti Baca

BARU beberapa hari lepas pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun di Kuala Terengganu, hari ini Faisal Halim pula dilapor disimbah asid.

Berdasarkan perkongsian warganet di media sosial, Faisal yang beraksi untuk Selangor FC dikatakan disimbah dengan sejenis cecair dipercayai asid dalam kejadian di Damansara, dekat ibu negara petang ini.

Akibatnya, pemain sayap Harimau Malaya tersebut melecur dan cedera di bahagian muka, dada dan lengan kirinya.

Malahan baju-T dan seluar yang dipakai pula kelihatan cair dan koyak akibat terkena cecair tersebut.

Sementara itu, Selangor FC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pelakunya.

“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.51 petang berhubung kejadian berkenaan.

Advertisements

“Panggilan dibuat oleh orang awam memaklumkan berkaitan kejadian melibatkan mangsa yang merupakan pemain kebangsaan mengalami kecederaan akibat disimbah cecair dipercayai asid.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

“Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Akhyar yang beraksi untuk Terengganu FC secara pinjaman daripada JDT cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun menurut kenyataan Terengganu FC, pemain tersebut berada dalam keadaan stabil dan diberi rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kedua-dua pemain tersebut merupakan tonggak Harimau Malaya ketika Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar, Januari lalu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan