26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Kes jenayah penipuan dalam talian meningkat

Mesti Baca

SEBANYAK 2,079 laporan membabitkan jenayah penipuan dalam talian diterima polis bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata jumlah itu meningkat berbanding 1,800 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama pada 2022.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 279 kes iaitu 15.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi nilai kerugian yang dicatatkan dalam tempoh sama adalah berjumlah RM71,856,561.37 berbanding RM57,026,986.57 tahun sebelumnya.

“Jumlah nilai kerugian ini pula menunjukkan peningkatan sebanyak RM14,829,574.80 iaitu 26 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, kes pembelian dalam talian menjadi penyumbang terbesar jumlah kes bagi tahun ini iaitu sebanyak 485 kes (23.3 peratus) dengan nilai kerugian RM7,174,113.39.

Advertisements

Katanya, ia diikuti kes pelaburan tidak wujud sebanyak 382 kes (18.4 peratus) dengan nilai kerugian RM29,465,101.63 dan kes penipuan panggilan telefon sebanyak 368 kes (18 peratus) dengan nilai kerugian RM17,729,811.79.

“Seterusnya adalah kes tawaran kerja sebanyak 361 kes (17.4 peratus) dengan nilai kerugian RM9,996,109.60 dan kes pinjaman tidak wujud, 338 kes (16.3 peratus) dengan nilai kerugian RM3,946,948.50.

“Sebanyak 478 kes daripada 2,079 laporan polis yang dibuka sudah dilaporkan oleh mangsa kepada ‘National Scam Response Centre’ (NSRC) bagi tujuan sekatan aktiviti ke atas akaun bank berkenaan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, sehubungan itu pihaknya menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada apabila berurusan secara dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Katanya, orang ramai diingatkan untuk menyemak terlebih dahulu talian telefon dan akaun bank yang digunakan suspek melalui aplikasi ‘Semak Mule’ yang disediakan secara dalam talian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK). -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan