BAGI memastikan kelancaran konsertnya yang akan berlangsung beberapa minggu sahaja lagi, penyanyi Lah Ahmad mengambil langkah dengan berpuasa.
Lah, 43, berkata, setiap orang punya cara dan petua dalam mendapatkan stamina sebelum mengadakan persembahan atau pun konsert.
Begitu juga dengan dirinya, yang mengambil pendekatan dengan berpuasa bagi memastikan mendapat stamina dan tenaga yang diinginkan pada malam konsertnya itu nanti.
“Saya akan membuat persembahan kira-kira dua jam dan akan menyanyikan sekitar 20 lagu. Itu satu perkara yang memerlukan saya lebih disiplin dalam menjaga suara dan tenaga sebagai seorang penyanyi.
“Selain menjaga pemakanan, saya akan mula berpuasa sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan berharap semuanya akan berjalan lancar,” katanya.
Lah ditemui selepas majlis pelancaran konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta Live At Istana Budaya di mana konsert itu turut menggabungkan Orkestra Simfoni Universiti Malaya di bawah pimpinan Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Profesor Dr Hanafi Husin.
Konsert yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 7 Oktober bermula jam 8.30 malam itu dianjurkan oleh Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Lah gembira sambutan jualan tiket untuk konsert berkenaan begitu memberangsangkan meskipun jarak konsertnya dengan yang terdahulu agak dekat.
“Sebenarnya risau juga bila kerap sangat buat konsert takut orang bosan apatah lagi sekarang ini konsert terlalu banyak.
“Kalau boleh saya tidak mahu kerap mengadakan konsert tetapi konsert di Istana Budaya ini saya anggap rezeki dan pastinya saya akan beri kelainan daripada konsert yang saya jayakan pada November tahun lalu.
“Saya juga gembira dengan sambutan jualan tiket sejak dilancarkan pada 25 Ogos lalu dan setakat ini harga tiket untuk kategori Ayu (RM390) sahaja yang tinggal,” katanya lagi.
Peminat yang ingin mendapatkan tiket konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta Live at Istana Budaya layari ilassotickets.com. -Edisi 9