JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dengan menahan seramai 56 orang individu pendatang asing tanpa izin (PATI) India serta ahli sindiket tersebut.
Kesemua PATI itu ditahan menerusi satu Operasi Khas yang dikenali sebagai “OPS Gelombang V” di Pantai Timur Kelantan yang dijalankan pada 13 September lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan operasi dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya dan JIM Kelantan telah menyerbu sebuah hotel bajet di Kota Bharu yang dijadikan sebagai rumah transit PATI oleh sindiket ini pada jam 10.20 pagi.
“Dalam serbuan ini pasukan operasi telah menahan seramai 51 orang PATI terdiri daripada 39 lelaki dan empat perempuan warganegara India, dua lelaki warganegara Pakistan, dua perempuan dewasa dan empat kanak-kanak lelaki warganegara Thailand.
“Kesemua mereka yang ditahan ini berumur dua hingga 60 tahun.
“Selain itu, turut ditahan ahli sindiket tersebut iaitu lima orang lelaki warga tempatan yang terdiri daripada pemilik hotel bajet terbabit, dua orang penjaga premis dan dua orang transporter yang kesemua mereka berumur diantara 23 hingga 57 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Ruslin berkata, kesemua PATI itu kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah manakala lima lelaki tempatan yang merupakan ahli sindiket tersebut direman selama enam hari untuk membantu siasatan lanjut Imigresen.
Katanya, berdasarkan siasatan lanjut pihaknya mendapati modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup PATI terutamanya warga India yang memasuki negara ini melalui negara jiran dengan menggunakan laluan haram di sempadan.
“Kesemua PATI yang dibawa masuk menerusi laluan haram di sempadan akan diangkut mengunakan kenderaan oleh transporter tempatan dan akan dikumpulkan di rumah transit ini sebelum dihantar ke lokasi-lokasi tertentu.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang PATI.
“Pemeriksaan lanjut di rumah transit hotel bajet itu pasukan operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM5,300, 42 pasport India dan empat buah kenderaan terdiri daripada kereta sedan dan MPV yang digunakan sindiket penyeludup untuk mengangkut PATI ke lokasi transit berkenaan.
“Simdiket berkenaan dipercayai aktif sejak melakukan kegiatan penyeludupan PATI sejak pertengahan tahun lalu dan menyasarkan PATI yang berasal dari India yang ingin memasuki negara ini untuk merebut peluang pekerjaan secara haram,”katanya.
Menurut beliau, Imigresen akan membanteras habis-habisan sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966, Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,”tegas beliau.- Edisi 9