SEMPENA Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-90 hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran angkatan tentera dan mereka yang pernah berkhidmat bersama ATM.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan dicurahkan seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga perwira ATM yang telah terkorban semasa bertugas dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara,” menurut Istana Negara.
Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.
“Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga Angkatan Tentera Malaysia terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.
“Syabas dan tahniah,” menurut hantaran itu.
Hari ATM disambut setiap 16 September dengan tema sambutan tahun ini ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’. – Edisi 9