UMNO membuat keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki .
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara hari ini.
Menurut beliau, UMNO menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Yang di-Pertuan Agong menerusi titah kenyataan mengingatkan Seri Paduka Baginda mempunyai kuasai prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Asyraf Wajdi berkata, sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.
“UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh Ahli UMNO yang sudahpun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini,” katanya.
UMNO sebelum ini mengerahkan ahli-ahli di setiap bahagian untuk berhimpun di Istana Kehakiman pada 6 Januari ini sebagai tanda sokongan kepada bekas Presiden UMNO itu.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Penetapan tarikh tersebut adalah pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum. – Edisi 9