JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah kilang barangan kitar semula bahan besi di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang Rabu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi bersepadu bermula 12 tengah hari itu, pihaknya berjaya menahan 91 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki warga China, 21 lelaki Pakistan, 19 lelaki Bangladesh, seorang
lelaki Indonesia, lima wanita China dan dua wanita warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 21 hingga 60 tahun.
“Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh/perkhidmatan paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0,” katanya hari ini.
Zakaria berkata, modus operandi kilang tersebut adalah memproses sisa dan bahan besi yang melibatkan peleraian dan pembakaran untuk dijadikan besi yang baru dan bahan pembinaan.
Semasa serbuan dilakukan, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan besi.
Walaupun menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan, namun mereka akhirnya berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 di tahan di Depot Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak tujuh Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang berada di lokasi sewaktu operasi dijalankan,” katanya. – Edisi 9

