AMAT sedih dengan keadaan fasiliti asas di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluluskan peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara kemudahan tersebut dengan kadar segera.
Beliau berkata, peruntukan tersebut bagi menyelenggara dan membaik pulih tandas-tandas di bangunan akademik dan asrama putera dan puteri; bilik guru di Jabatan Sains serta pintu-pintu kelas akademik yang rosak teruk.
“Saya juga mengambil peluang melihat fasiliti-fasiliti di sini (MRSM Terendak) dan begitu sedih dengan keadaan bilik guru dan tandas di bangunan akademik, tandas di asrama putera dan puteri yang banyak tidak berfungsi dan rosak.
“Saya telah berikan tempoh masa selama sebulan kepada pihak pengetua dan pengurusan MRSM untuk menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan fasiliti ini,” katanya hari ini.
Asyraf Wajdi sebelum itu bergegas ke MRSM Terendak ekoran terdapat 48 pelajarnya mengalami keracunan makanan dengan enam daripadanya terpaksa dirawat di wad kecemasan Hospital Tentera Kem Terendak.
Beliau berkata, kebajikan para guru dan pelajar adalah keutamaannya di MARA dan suasana yang kondusif amat penting untuk keselesaan semua bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
“Tiada kompromi jika ia melibatkan isu kesihatan dan keselesaan para pelajar. Saya akan terus memantau dan memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi.
“Jika ianya berlaku, boleh terus laporkan kepada saya di ruangan komen Facebook,” katanya.
Mengenai kes keracunan makanan tersebut, beliau berterima kasih pihak Jabatan Kesihatan Melaka dan Hospital Tentera Kem Terendak yang telah membuat tindakan pantas bagi merawat pelajar MRSM.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga sedang melakukan siasatan lanjut bagi isu tersebur serta akan mengambil tindakan termasuk notis penutupan dewan selera ini. – Edisi 9