SERAMAI 18 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini mengadakan program Kembara Budaya NihonQuest di Tokyo, Jepun di bawah program Global Islamic Student Outreach (GISO).
Program selama seminggu dari 15 hingga 21 September lalu itu melibatkan pelbagai aktiviti pertukaran kebudayaan dan ilmu oleh para peserta dengan masyarakat setempat di sana.
Felo Kolej Kediaman Sutera Indah USIM, Prof Madya Dr Shikh Mohd Shahrul Nizan yang mengiringi program itu berkata, program pertukaran ilmu dengan komuniti Masjid Otsuka berjaya memperkukuhkan hubungan sesama saudara seagam antara Malaysia dan Jepun.
“Kami mendapat usul daripada pihak Masjid Otsuka untuk menjalinkan hubungan dua hala antara USIM dan sekolah tinggi Islam yang akan mereka tubuhkan pada tahun depan.
“Ini adalah peluang besar untuk memberi peluang yang lebih luas kepada pelajar-pelajar Muslim di Jepun menyambung pengajian mereka di USIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sempena program tersebut, para pelajar USIM juga berpeluang memperkenalkan permainan tradisional Malaysia sambil bertukar budaya dengan rakan-rakan pelajar International Islamia School Otsuka (IISO) dan Shibaura Institute of Technology (SIT).
Katanya, program Kembara Budaya NihonQuest bukan sahaja dapat mempromosikan USIM di peringkat antarabangsa tetapi turut memupuk pemahaman antara budaya kedua-dua negara.
Sementara itu Pengarah program, Muhammad Danial Iman Kiok berharap ekspedisi tersebut menjadi titik permulaan bagi pelajar Muslim di Jepun untuk melanjutkan pelajaran mereka di USIM.
“Mudah-mudahan mereka dapat membawa manfaat kepada masyarakat Muslim di Jepun selepas mereka tamat pengajian mereka di USIM kelak,” katanya. – Edisi 9