INSTITUSI pendidikan tinggi (IPT) tempatan digesa menawarkan lebih banyak kursus pendek berbentuk micro-credential (kelayakan mikro) bagi meningkatkan kemahiran dan kelayakan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kursus sedemikian boleh ditawarkan kepada mereka yang tidak berkesempatan mengikuti pendidikan secara formal.
Beliau berkata, melalui kursus-kursus jangka pendek tersebut golongan berkenaan dapat mengasah dan meningkatkan semula kemahiran.
Katanya, di Finland, micro-credential mampu membantu “menyelamatkan” masyarakat untuk mendapat pekerjaan, bukan sahaja di dalam negeri malahan juga dengan syarikat-syarikat antarabangsa.
“Ini terbukti apabila staf yang hilang pekerjaan daripada syarikat gergasi pengeluar telefon bimbit satu ketika dulu, Nokia mengalami kerugian teruk diterima bekerja di syarikat luar negara kerana mempunyai kelayakan micro-credential dari universiti di sana.
“Kisah ini dikongsikan seorang peserta pada Forum Ilmuan Malaysia Madani, Mencorak Peralihan Tenaga yang Mampan Untuk Masa Depan Negara yang Sejahtera baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Micro-credential secara amnya adalah suatu kursus atau pakej pembelajaran yang bertujuan untuk mengiktiraf peningkatan kepakaran dan kompetensi spesifik individu dalam pelbagai bidang.
Mohamad Shatar berkata, MQA sendiri sudah pun menggerakkan inisiatif berkaitan micro-credential dengan menjadi pusat sehenti dan sumber rujukan utama mendapatkan maklumat mengenai program micro-credential yang ditawarkan oleh IPT di Malaysia menerusi portal MQA.
Katanya, penawaran micro-credential memberi peluang terutamanya kepada individu bekerja untuk meningkatkan kemahiran spesifik yang disyaratkan oleh majikan dan industri dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata, apa yang lebih menarik mengenai micro-credential ialah individu bukan hanya boleh mengikutinya di dalam negara, malahan juga di luar negara.
Katanya, keanjalan diberikan MQA kepada masyarakat untuk mempertingkat ilmu dan kemahiran melalui laluan micro-credentials tersebut secara umumnya tiada batas.
“Jadi, masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang sebaiknya dan lebih penting IPT kita mempromosikan micro-credential ini secara agresif kerana inilah antara mod pendidikan masa depan.
“Diharap lebih banyak IPT yang menawarkan micro-credential berbentuk Stand-Alone Micro-credentials (SAMC) kerana inisiatif ini selain mempromosikan pendidikan fleksibel yang menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), ia turut membantu melonjakkan imej negara untuk menjadi hab pendidikan global seperti dihasratkan kerajaan,” katanya. – Edisi 9